Tuntutan palsu dana banjir, pengerusi jawatankuasa PPS ditahan

Tuntutan palsu dana banjir, pengerusi jawatankuasa PPS ditahan

Sumber berkata suspek disyaki memperakui borang Bantuan Wang Ihsan berjumlah RM1,000 yang mengandungi butir matan palsu pada 2022.

Sumber berkata suspek lelaki berumur 60-an itu ditahan kira-kira 11 pagi semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman. (Gambar Freepik)
KUALA TERENGGANU:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan seorang pengerusi jawatankuasa pusat pemindahan sementara (PPS) kerana disyaki memperakui borang bantuan bencana banjir mengandungi butir matan palsu pada 2022.

Menurut sumber, suspek lelaki berumur 60-an itu ditahan kira-kira 11 pagi semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman.

Katanya borang terbabit berkaitan maklumat ketua isi rumah atas nama anak kandung sendiri bagi mendapatkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 yang sebenarnya tidak layak menerima bantuan itu.

BWI merupakan inisiatif kerajaan dalam memberi bantuan kepada setiap ketua isi rumah terjejas ketika monsun timur laut atau terkesan dengan bencana lain diisytiharkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

“Bagaimanapun, suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM setelah keterangannya selesai diambil.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.