Set minda perang dingin perlu ditamatkan, kata PM

Set minda perang dingin perlu ditamatkan, kata PM

Anwar Ibrahim berkata, Amerika Syarikat dan China sama penting bagi Malaysia.

Anwar Ibrahim berkata, keadaan sekarang yang lebih berkecamuk dan kompleks memerlukan negara-negara, sama ada besar atau kecil, berganding bahu. (Gambar AP)
SAN FRANCISCO:
Negara seperti Malaysia dan kumpulan serantau seperti Asean tidak harus dipaksa melihat dunia ini serta kuasa besar dalam set minda perang dingin, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keadaan sekarang lebih berkecamuk dan kompleks, memerlukan negara sama ada besar atau kecil berganding bahu serta bekerjasama.

Oleh sebab itu, pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dengan Presiden China Xi Jinping di luar Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) penting.

“Ia harus memberi satu mesej jelas bahawa kita boleh bekerjasama dan percaya satu sama lain untuk menyelesaikan masalah serius seperti perubahan iklim,” katanya pada sesi soal jawab di Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Apec Ke-30 bertemakan “The Global Economy and State of The World” di sini semalam.

Terlalu banyak isu kontroversi sedang berlaku, kata Anwar yang memberi peperangan di Ukraine dan Gaza sebagai contoh.

“Anda mesti cuba dan terima hakikat anda mungkin tidak dapat mencapai semua hasil diinginkan, tetapi libat urus ini penting untuk dicuba dan mewujudkan bidang boleh dilaksanakan.

“Negara seperti Malaysia dan Asean tidak boleh dipaksa melihat dunia dan kuasa besar dalam set minda perang dingin,” katanya.

Beliau menekankan AS dan China sama penting bagi Malaysia.

“AS ialah rakan tradisi dan pelabur utama di Malaysia, tetapi berlaku perubahan dan peningkatan dalam perdagangan dan pelaburan dari China.

“Jadi, mengapa letakkan kami dalam keadaan sukar, satu mainan campur-tolak. Untuk manfaat negara membangun dan juga untuk Barat dan Timur, saya percaya penyelesaiannya sudah tentu kerjasama lebih hebat.

“Pemimpin bijak dengan wawasan dan komitmen. Kita harus berkongsi idea dan boleh menyelesaikan isu dengan lebih berkesan,” katanya.

Anwar tiba di sini pada 13 Nov untuk menghadiri mesyuarat pemimpin ekonomi Apec dari 14 hingga 17 Nov, penampilan sulungnya selaku perdana menteri Malaysia dalam mesyuarat itu.

Beliau diiringi isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri Luar Zambry Abd Kadir; Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil; serta pegawai kanan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.