Rokok seludup RM5.12 juta dirampas di P Pinang

Rokok seludup RM5.12 juta dirampas di P Pinang

Komander PPM Wilayah Satu Pulau Pinang Shamsol Kassim berkata ia rampasan rokok terbesar di negeri itu tahun ini.

Shamsol Kassim (tengah) menunjukkan rokok dirampas dalam sidang media di Markas PPM Wilayah Satu Pulau Pinang Batu Uban hari ini. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang merampas 24,500 karton rokok putih lebih RM5.12 juta dalam serbuan ke atas sebuah premis di Jalan Choong Lye Hock di sini, Selasa lepas.

Komander PPM Wilayah Satu Pulau Pinang, Shamsol Kassim, berkata serbuan Op Taring Landai Kontraban sekitar 6 petang oleh sepasukan anggota Unit Risikan Marin (URM) dilakukan selepas 48 jam pemantauan terhadap sebuah rumah teres dua tingkat dipercayai menjadi stor penyimpanan rokok itu.

“Hasil pemantauan sejak 12 Nov, tiada orang yang hadir, justeru pada 14 Nov, kita membuat pemeriksaan dan merampas 490 kotak berisi 24,500 karton rokok bersamaan 4.9 juta batang rokok putih jenama Manchester dianggarkan bernilai RM5.12 juta, termasuk cukai.

“Ini rampasan terbesar rokok di Pulau Pinang tahun ini dan siasatan masih dilakukan bagi mengesan pemilik premis terbabit untuk membantu siasatan,” katanya dalam sidang media di Markas PPM Wilayah Satu Pulau Pinang Batu Uban.

Shamsol berkata, risikan awal mendapati premis itu disewa untuk tempoh singkat dan sindiket akan berpindah ke lokasi tersembunyi lain sekiranya aktiviti mereka dihidu pihak berkuasa.

Katanya, semua rokok itu dipercayai dibawa dari negara jiran melalui jalan laut dan aktiviti pemindahan dilakukan di tengah laut ke kapal lain.

“Kapal komersial akan memperlahankan kelajuan mereka di tengah laut dan memindahkan rokok ini ke kapal lain masuk ke perairan Malaysia.

“Kotak-kotak rokok ini dibalut plastik bagi mengelakkan ia basah ketika pemindahan dan disimpan di premis terbabit sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.”

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.