Bilangan keluarga miskin tegar makin menurun, kata Rafizi

Bilangan keluarga miskin tegar makin menurun, kata Rafizi

Menteri ekonomi berkata kadar isi rumah yang hidup dalam miskin tegar menurun daripada 1% pada 2020 kepada 0.2% kini.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata 102,888 ketua isi rumah miskin tegar direkodkan setakat 31 Oktober. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kadar isi rumah yang hidup dalam miskin tegar berkurangan hasil usaha kerajaan perpaduan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Memetik data Survei Pendapatan Isi Rumah yang dilaksanakan pada 2022, Rafizi berkata kadar kemiskinan tegar berkurang daripada anggaran 1% isi rumah pada 2020, kepada 0.2% atau 18,445 isi rumah pada masa ini.

Dalam jawaban bertulis Dewan Rakyat, Rafizi berkata pengurangan sama dapat dilihat berdasarkan data eKasih iaitu pangkalan data di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

“Berdasarkan eKasih setakat 31 Oktober 2023, jumlah isi rumah miskin tegar adalah 102,888 Ketua Isi Rumah (KIR). Angka ini menunjukkan penurunan berbanding data eKasih pada bulan Januari 2023 yang mencatatkan sejumlah 126,556 KIR miskin tegar,” katanya.

Kerajaan juga berusaha melaksanakan anjakan besar melalui penyasaran pemberian bantuan kepada golongan sasar berkelayakan.

Susulan itu, katanya, pangkalan data utama (Padu) akan memainkan peranan penting, dan dijangka sedia digunakan secara berperingkat mulai Januari depan.

Beliau berkata, antara bantuan jangka pendek bagi golongan miskin termasuk sumbangan tunai, barangan asas, subsidi kepada pesawah dan pekebun kecil, serta projek pembaikan prasarana luar bandar.

Bagi strategi jangka sederhana pula, program keusahawanan, peningkatan kemahiran dan latihan kemahiran semula akan dilaksanakan bagi mempertingkatkan pendapatan, termasuk program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang telah memanfaatkan 4,100 isi rumah berpendapatan rendah.

“Kerajaan akan terus melipatgandakan usaha membantu KIR miskin tegar untuk keluar daripada cengkaman kemiskinan melalui pewujudan pelbagai program peningkatan pendapatan dan mencipta peluang pekerjaan.

“Pengenalan Padu akan membolehkan usaha membasmi kemiskinan tegar dapat dilaksanakan dengan lebih tepat tanpa sebarang keciciran dan pertindihan pemberian bantuan oleh semua agensi Persekutuan dan negeri,” katanya.

Rafizi menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading), yang bertanya berapa ramai golongan miskin tegar berjaya dibantu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.