Bersatu ada ‘kelompangan’, pimpinan perlu diubah, kata Eddin

Bersatu ada ‘kelompangan’, pimpinan perlu diubah, kata Eddin

Eddin Syazlee Shith berpendapat perubahan itu perlu dibuat secara tertib dengan formula tertentu.

Hamzah Zainudin dikatakan antara calon utama disebut-sebut menjadi presiden Bersatu jika Muhyiddin Yassin tidak bertanding pada pemilihan tahun depan.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Bersatu mendakwa parti itu memerlukan perubahan pimpinan tertinggi untuk menghadapi PRU16 tetapi mesti dilakukan secara “tertib”.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Eddin Syazlee Shith berkata, parti itu yang akan mengadakan pemilihan tahun depan, mempunyai kelompangan atau kelemahan yang perlu diisi supaya lebih mantap membantu Perikatan Nasional (PN).

Bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah itu tidak memperincikan kekurangan dimaksudkan dalam parti diketuai Muhyiddin Yassin itu mahupun menamakan mana-mana pemimpin yang harus berundur atau diganti.

Namun beliau merujuk peralihan sokongan empat Ahli Parlimen Bersatu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dengan alasan demi pembangunan serta kebajikan kawasan diwakili mereka.

Mereka terdiri daripada Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Azizi Abu Naim (Gua Musang); dan Zahari Kechik (Jeli).

Eddin turut berkata, pemimpin seperti ketua pembangkang Hamzah Zainudin, yang kini memikul tugas setiausaha agung Bersatu, berkebolehan menggalas tanggungjawab lebih besar.

“Saya tengok ramai tokoh dalam Bersatu seperti setiausaha agung (Hamzah) mungkin boleh memberikan penambahbaikan kepada parti,” katanya kepada FMT.

“Tetapi kena ada tertibnya (mana-mana individu nak memimpin Bersatu), nak lakukan perubahan … tertib kena ada. Tak bermakna setiausaha agung nak gantikan presiden (Muhyiddin) macam itu sahaja, mesti ada formula.”

Sebelum ini, FMT memetik sumber parti melaporkan Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dijangka antara calon utama disebut-disebut mengisi kerusi nombor satu Bersatu jika Muhyiddin memutuskan tidak bertanding pada pemilihan akan datang.

Sementara itu, Eddin berkata, mana-mana pemimpin perlu berjiwa besar melepaskan jawatan sekiranya tidak lagi mampu memikul tanggungjawab

“Kalau kita memikirkan diri kita saja, dah cuba-cuba, tak boleh pergi … kita tak nampak kelemahan kita tapi orang sekeliling kita nampak, kita kena terima hakikat itu,” katanya.

Bekas pengerusi PN Negeri Sembilan itu berkata, Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu minggu depan perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh kepimpinan tertinggi untuk mendengar pandangan sebenar akar umbi tanpa ada sekatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.