
Ketua Pesuruhjaya Azam Baki, berkata NACS akan lebih memfokuskan kepada keberkesanan pencegahan rasuah, meningkatkan tatakelola, dan integriti dalam pentadbiran perkhidmatan awam dan syarikat berkaitan kerajaan.
Beliau berkata, kira-kira 62% daripada 115 inisiatif NACP 2019-2023 telah dilaksanakan ketika ini dan mengakui NACP 2019-2023 tidak sempat dilaksanakan secara keseluruhan.
Bagaimanapun, beliau berkata inisiatif NACP 2019-2023 yang belum tercapai akan dipertimbangkan untuk dilaksanakan menerusi NACS 2024-2029.
“Berdasarkan pengalaman lepas, kita akan kurangkan. Apa yang penting keberkesanannya sama ada boleh tingkatkan dan memantapkan pentadbiran dan integriti dalam perkhidmatan awam dan syarikat berkaitan kerajaan,” katanya selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Antirasuah Sedunia 2023 (WACC 2023) anjuran Institut Strategi Antarabangsa (ISI).
Persidangan selama sehari ini menampilkan beberapa panel berkaitan antirasuah dari Malaysia, Indonesia, Australia, Jepun, Brunei, Singapura, Korea Selatan, Filipina, dan Myanmar yang membincangkan pelbagai topik dan strategi membanteras rasuah di negara masing-masing.
Mengenai WACC 2023, Azam berkata persidangan seperti ini penting kerana setiap panel akan berkongsi pengalaman dan praktis terbaik menangani rasuah di negara masing-masing.
Beliau berkata, hasil daripada perkongsian persidangan ini akan dipertimbangkan untuk memantapkan inisiatif dalam merangka NACS 2024-2029.
Sementara itu, mengulas mengenai setahun pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Azam berkata perdana menteri tidak ragu-ragu dan beriltizam tinggi membanteras rasuah dan mengamalkan tatakelola pentadbiran baik dan tersusun.
“Kemahuan politik penting dan saya tidak ragu-ragu katakan kerajaan terutama perdana menteri mempunyai kemahuan politik tinggi dan dorongan untuk mencegah rasuah tahap maksimum.
“Perdana menteri memberi kepercayaan dan memberi komitmen kepada SPRM dan meletakkan jangkaan tinggi pada SPRM untuk siasat dan mencegah rasuah di Malaysia,” katanya.