
Dalam keputusannya, hakim perbicaraan Sabariah Othman memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Lau Kok Loon, 77, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).
“Disebabkan unsur tuduhan gagal dibuktikan, mahkamah mendapati kes prima facie tidak dibuktikan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(b) Amla.
“Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada dua tuduhan tanpa perlu membela diri,” katanya.
Dalam keputusannya, Sabariah berkata, siasatan kes itu tidak lengkap, menyebabkan penyiasat gagal meneliti maklumat penting. Akibatnya, tertuduh dinafikan hak mendapat perbicaraan adil, tambahnya.
Lau, pengarah Semenyih Jaya Sdn Bhd, dikatakan melakukan kesalahan itu antara 2013 dan 2017.
Menurut tuduhan pertama, yang dikemukakan pada 2019, Lau didakwa melakukan CBT membabitkan empat keping cek Hong Leong Bank bernilai RM7.6 juta antara 27 Ogos 2013 dan 3 Sept 2013.
Pada 2020, dia didakwa melakukan pengubahan wang haram membabitkan RM9.1 juta dengan memindahkan hasil kegiatan didakwa menyalahi undang-undang daripada akaun simpanannya ke akaun semasa Hong Leong Bank dalam 34 transaksi antara 4 Dis 2013 dan 19 Sept 2017.
Pendakwaan dijalankan oleh Raihanah Abd Razak manakala Lee Keng Fatt mewakili Lau selaku peguam.