Ada usahawan IPR jana jualan purata RM14,000 sebulan

Ada usahawan IPR jana jualan purata RM14,000 sebulan

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata 4,900 mesin layan diri akan ditempatkan di lokasi strategik dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Salah seorang peserta program mesin layan diri di bawah program Inisiatif Pendapatan Rakyat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ada peserta dalam program pembasmian kemiskinan berjaya meraih hasil jualan purata sehingga RM14,000 sebulan, dedah Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Program melibatkan RM750 juta, dikenali Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), melibatkan Inisiatif Usahawan Tani (Intan), Inisiatif Operator Perkhidmatan (Ikhsan), dan Inisiatif Usahawan Makanan (Insan) membabitkan penjualan makanan sedia dimakan menerusi mesin layan diri.

“Pelaksanaan Inisiatif Usahawan Makanan atau Insan pula telah memberi manfaat kepada sejumlah 100 peserta dan terdapat peserta yang telah berjaya meraih hasil jualan purata sehingga RM14,000 sebulan,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) berkait keberkesanan program itu.

Beliau berkata, pihak kementerian akan mengenal pasti lokasi strategik di seluruh negara bagi menempatkan tambahan 4,900 mesin layan diri dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Rafizi berkata, sebanyak 130,304 permohonan untuk menyertai tiga program tersebut, dengan 48,687 permohonan diluluskan. Katanya, sejumlah 1,901 isi rumah miskin tegar telah diluluskan menyertai IPR dengan melibatkan RM24.8 juta.

Semalam, pada majlis di Kuala Lumpur, Rafizi berkata penyertaan usahawan B40 boleh menjana purata pendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan menerusi Insan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.