Tindakan afirmatif tak harus berasaskan kaum, kata Anwar

Tindakan afirmatif tak harus berasaskan kaum, kata Anwar

Perdana menteri berkata meritokrasi semata-mata tidak boleh diamalkan apabila peluang untuk asas persaingan adil tidak tersedia.

Anwar Ibrahim berkata tindakan afirmatif akan membolehkan komuniti yang miskin dan terpinggir sama-sama bersaing. (Gambar Bernama)
SAN FRANCISCO:
Tindakan afirmatif adalah perlu bagi memastikan golongan miskin dan terpinggir mendapat peluang sama rata, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Meritokrasi sepenuhnya tidak boleh dilaksanakan apabila ia tidak adil, tambahnya.

“Ada beberapa sekolah di Malaysia, kawasan bandar yang mempunyai pelbagai kemudahan terbaik, bersaing dengan sekolah di kawasan luar bandar, kawasan pedalaman… jadi perlu ada suatu bentuk sistem tambahan.

“Anda boleh panggilnya tindakan afirmatif atau sokongan tambahan, tapi apa pun, kita tidak boleh amalkan meritokrasi semata-mata apabila peluang untuk asas persaingan adil tidak tersedia,” katanya pada sesi soal jawab di University of California, Berkeley di sini, Selasa.

Anwar berkata, tindakan afirmatif itu akan membolehkan komuniti yang miskin dan terpinggir sama-sama bersaing, namun langkah-langkah sedemikian tidak seharusnya dilaksanakan berasaskan kaum tertentu.

“Melayu, Cina atau India, jika anda miskin, kita akan bantu kerana ia bukan berasaskan pada kaum, tetapi atas keperluan,” katanya.

Terdahulu, perdana menteri yang berada di sini untuk menyertai Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi Apec menyampaikan syarahan khas bertajuk “Super Power Rivalry and Rising Tensions in the Asia Pacific” di University of California.

Berhubung isu penghijrahan cendekiawan, beliau berkata, bercanggah dengan pandangan tradisional bahawa pelajar harus kembali selepas menamatkan pengajian di luar negara, mereka sebenarnya boleh menimba pengalaman terlebih dahulu.

“Biar mereka timba pengalaman awal terlebih dahulu, terutama jika ada syarikat-syarikat swasta, perusahaan swasta atau syarikat pemula yang berhasrat mengambil mereka bekerja, terutama di sini, di kawasan San Francisco Bay Area atau New York,” katanya.

Kawasan San Francisco Bay Area sememangnya tersohor sebagai pusat operasi syarikat-syarikat besar senaraian Fortune 500, seperti Tesla, Uber, Salesforce, Pixar, Netflix, Lucasfilm Ltd, dan Levi Strauss, selain firma-firma yang inovatif dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI), teknologi bio, perisian, teknologi bersih dan media sosial.

“Pendedahan (pengalaman) ini juga akan memberi manfaat kepada negara apabila mereka kembali,” katanya.

Anwar turut mengulangi tekad kerajaan dalam mengkaji pelbagai cara bagi menarik rakyat Malaysia berkemahiran tinggi kembali menyumbang kepada negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.