
Di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Act 847), banduan yang menghadapi hukuman mati boleh memohon hukuman diringankan kepada pemenjaraan, susulan pemansuhan hukuman mati mandatori.
Salim Bashir berkata, undang-undang yang berkuat kuasa 12 Sept lalu itu memperuntukkan tempoh tiga bulan kepada banduan untuk memfailkan permohonan.
“Sebarang lanjutan masa untuk memfailkan permohonan hanya boleh diberikan, jika pesalah dapat memberi alasan kukuh,” katanya kepada FMT.
Pengamal undang-undang jenayah itu berkata demikian selepas Sirul dibebaskan dari pusat tahanan imigresen di Australia, minggu lalu.
Ini susulan Mahkamah Tinggi Australia memutuskan penahanan imigresen tanpa tempoh ditetapkan menyalahi undang-undang, sekali gus membatalkan keputusan pada 2004 bahawa warga asing tiada visa boleh ditahan tanpa had masa, selagi kerajaan berhasrat mengusir mereka secepat mungkin.
Peguam Sirul, William Levingston berkata, Australia tidak akan membenarkan anak guamnya dihantar pulang ke Malaysia kerana berdepan hukuman mati.
Salim berkata, sabitan dan hukuman Sirul bagi pembunuhan Altantuya akan kekal, jika beliau tidak memfailkan permohonan untuk pertimbangan mahkamah tertinggi itu.
“Beliau perlu melantik peguam di sini dan memfailkan permohonan sebelum bulan depan,” kata peguam itu sambil menambah Sirul juga perlu hadir di mahkamah ketika kesnya didengar.
Bagaimanapun, katanya, Sirul berisiko ditahan sebaik tiba di Malaysia disebabkan status banduannya.
Altantuya, 28, yang juga jurubahasa, dibunuh antara 10 malam 19 Okt 2006 hingga 11 pagi keesokannya di kawasan hutan Puncak Alam, Shah Alam, Selangor. Dia ditembak di kepala sebelum mayatnya diletupkan.
Pada 2009, Sirul dan Azilah Hadri yang juga anggota Unit Tindakan Khas (UTK) disabitkan bersalah serta dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh wanita itu.
Sabitan dan hukuman mereka diketepikan Mahkamah Rayuan pada 2013, namun dikekalkan Mahkamah Persekutuan dua tahun kemudian. Sirul melarikan diri ke Australia sebelum mahkamah tertinggi itu mengumumkan keputusannya.
Dia ditahan polis Australia pada 2015 dan ditempatkan di pusat tahanan imigresen Villawood, Sydney sejak itu. Azilah masih menjadi banduan akhir di Penjara Kajang.
Undang-undang memansuhkan hukuman mati mandatori diluluskan Parlimen awal tahun ini dan berkuat kuasa 4 Julai lalu. Ia memberi hakim pilihan sama ada mengenakan hukuman mati atau penjara terhadap pesalah.
Bagi mereka yang didapati bersalah kerana membunuh, mahkamah mempunyai budi bicara menggantikan hukuman mati dengan penjara antara 30 hingga 40 tahun, serta minimum 12 sebatan bagi pesalah lelaki bawah 50 tahun.
Jika mahkamah memutuskan untuk mengenakan hukuman mati, pesalah boleh membuat rayuan kepada lembaga pengampunan.