
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara Ahmad Faisal Mohamed Fiah berkata perbelanjaan itu memberi kebaikan jangka panjang, sama seperti dilaksana sektor swasta bagi meningkatkan imej serta keyakinan masyarakat.
“Tiada salah pun untuk kita berbelanja sedikit untuk menguar-uarkan kejayaan pencapaian negara kita sebab itu membawa pelaburan. Contohnya mengembalikan keyakinan baik kepada rakyat dan pelabur.
“Cuma kerajaan perlu berhati-hati dan memastikan bahawa pulangan pelaburan diterima itu berbaloi, dapat meningkatkan pendapatan negara dan menangani isu kos sara hidup,” katanya kepada FMT.
“Rakyat tidak akan tertanya-tanya apabila melihat ia (perbelanjaan promosi) suatu pelaburan yang berbaloi untuk dibelanjakan.”
Minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pentadbirannya akan mengurangkan kepada RM100 juta bagi mempromosikan dan publisiti inisiatif kerajaan pada tahun depan.
Katanya, di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu, kira-kira RM700 juta dibelanjakan bagi tujuan itu dari 2020 hingga 2022.
April lalu, Anwar menggesa agensi kerajaan berhenti memasang papan iklan berkait dirinya dan “kerajaan Madani” di seluruh negara.
Mengulas mengenainya, Faisal berkata peruntukan RM100 juta itu mungkin boleh diguna pada platform swasta untuk mendapat khalayak lebih ramai memandangkan kerajaan telah mempunyai jenteranya sendiri seperti RTM dan Bernama.
“Mungkin ini digunakan untuk platform bersifat swasta tetapi dikurangkan sebab negara masih berada dalam keadaan kelembapan ekonomi,” katanya.