Peniaga didakwa bunuh wanita warga emas

Peniaga didakwa bunuh wanita warga emas

Nooraini Remali didakwa membunuh mangsa yang mayatnya ditemukan di dalam longkang di Hulu Terengganu, awal bulan ini.

Didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Nooraini Remali, 35, berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Majistret Marang hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita warga emas, yang juga rakan kongsi perniagaannya.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Nooraini Remali, 35, selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zur Azureen Zainalkefli, lapor Harian Metro.

Mahkamah menetapkan 15 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Nooraini didakwa membunuh mangsa yang berusia 65 tahun di hadapan pos pengawal Telekom Malaysia, Batu 23 Kuala Berang, Hulu Terengganu, antara 3.20 pagi hingga 4 pagi pada 1 Nov lepas.

Didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertuduh berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Akmal Mohd Jazlee manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim.

Terdahulu dilaporkan seorang peniaga ditemukan mati dengan 15 kesan tikaman di bahagian badan di dalam longkang berhampiran Pejabat Agama Hulu Terengganu, Kuala Berang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.