KPDN kaji cadangan naik harga minyak masak bersubsidi

KPDN kaji cadangan naik harga minyak masak bersubsidi

Fuziah Salleh berkata, kemungkinan berlaku ketirisan amat tinggi kerana minyak masak terpakai kini RM3.80 sekilogram.

Fuziah Salleh berkata, harga minyak masak peket bersubsidi ialah RM2.50, sedangkan harga minyak masak terpakai RM3.80 sekilogram.
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang meneliti cadangan menaikkan harga minyak masak peket bersubsidi, kata Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh.

“Kajian sama akan ada kenaikan (harga minyak peket bersubsidi), ia betul kerana harga minyak (peket) subsidi RM2.50, sedangkan harga minyak masak terpakai RM3.80 sekilogram.

“Kemungkinan ketirisan berlaku amat tinggi, maka kita sedang kaji berkenaan dengan harga. Kalau kita naikkan harga, (ia) akan kurangkan subsidi,” katanya menurut Harian Metro ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2024 bagi KPDN di Dewan Rakyat semalam.

Dalam perkembangan lain, Fuziah berkata, 43 pengusaha sudah memohon Kad Diskaun Khas Menu Rahmah bagi membeli barang keperluan pada harga diskaun sehingga 40% dengan rakan strategik.

Setakat ini, katanya, terdapat 2,894 pengusaha Menu Rahmah di seluruh negara dan operasi mereka sudah bertahan sejak pengenalannya dalam tempoh setahun ini.

“Impak kajian (Menu Rahmah) sudah dijalankan sama ada ia mampan. Setakat ini, dalam keadaan kita menangani kos sara hidup, ia program yang dinantikan untuk bantu rakyat.”

Mengenai kempen memboikot jenama francais antarabangsa dikaitkan dengan sokongan terhadap rejim Zionis Israel, Fuziah berkata, kebanyakan syarikat itu di bawah pemilikan syarikat tempatan dan terpulang kepada pengguna untuk membuat pilihan.

“Sebagai kerajaan, pendirian kita adalah menyokong Palestin, tapi sama ada interpretasi boikot atau tak, itu terserah kepada individu.

“Terserah (kepada pengguna) sama ada lebih penting memboikot atau menyelamatkan (nasib pekerja francais). Setakat ini, kementerian tidak membuat apa-apa pendirian.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.