
Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata tiada halangan bagi mana-mana pihak dan dalam konteks di Marang, kerajaan Terengganu untuk memberi sumbangan di sebalik bantahan daripada lawan.
“Walaupun pihak sebelah sana mengatakan kerajaan negeri melanggar peraturan, namun mahkamah sahkan tidak ada halangan mana-mana pihak termasuk orang awam memberi sedekah pada pilihan raya.
“Bila-bila masa dibolehkan dalam Islam, selain dari segi undang-undang pun sahkan apa dikatakan presiden PAS (Hadi),” katanya ditemui selepas keputusan Mahkamah Persekutuan membabitkan rayuan petisyen pilihan raya terhadap Hadi.
Pada prosiding itu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan calon Barisan Nasional (BN) untuk membatalkan kemenangan Hadi di Parlimen Marang kerana didakwa merasuah pengundi dalam PRU15 lalu.
Panel tiga hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim berkata Jasmira Othman gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Pada 21 Jan lalu, Hadi dilaporkan berkata pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan kerana ia hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam.
Katanya peraturan sedia ada hanya melarang calon yang bertanding dan wakil mereka daripada memberi wang tunai kepada pengundi.