
Menteri Loke Siew Fook berkata, kementerian kecewa dengan insiden itu kerana laluan MRT itu tidak sampai setahun beroperasi sepenuhnya.
“Kami rasa amat dukacita (berlaku gangguan) kerana laluan Putrajaya ini baru dibuka, tak sampai pun setahun. Gangguan ataupun masalah teknikal ini mesti diberikan perhatian serius oleh pihak MRT Corp dan Prasarana.
“Laporan penuh telah diminta (oleh kementerian) kepada pihak Prasarana untuk dikemukakan dalam mesyuarat pasca Jemaah Menteri nanti,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat kementerian di sini.
Fasa satu laluan MRT Putrajaya mula beroperasi pada Jun tahun lepas, dan pada Mac tahun ini, beroperasi sepenuhnya.
Semalam, Rapid KL memaklumkan bahawa laluan MRT Putrajaya mengalami gangguan bekalan elektrik antara stesen Conlay dan Chan Sow Lin sekitar 5.50 petang.
Loke berkata, memandangkan tren itu masih dalam tempoh liabiliti kerosakan, kementerian juga akan merujuk kejadian itu kepada kontraktor kereta api itu, MMC Gamuda, untuk mengenal pasti punca masalah.