Dakwaan fitnah SPRM, pemimpin Bersatu disiasat bawah Akta Hasutan

Dakwaan fitnah SPRM, pemimpin Bersatu disiasat bawah Akta Hasutan

Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata pemimpin itu juga akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Razarudin Husain berkata laporan SPRM berkait dakwaan fitnah diterima polis pagi tadi merujuk ucapan Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris, pada Jumaat.
PETALING JAYA:
Polis akan menyiasat seorang pemimpin tinggi Bersatu mengikut Akta Hasutan susulan laporan berbaur fitnah dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata pemimpin itu juga akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Laporan berhubung kejadian itu dibuat pada pukul 9.27 pagi tadi. Perkembangan kes akan dimaklumkan dari masa ke semasa, tindakan siasatan sudah dijalankan,” katanya menurut Kosmo.

SPRM dalam kenyataan, berkata agensi itu membuat laporan polis terhadap ucapan Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris ketika majlis pelancaran jentera PRK Kemaman, Jumaat lalu, berdasarkan hantaran di TikTok atas nama pemilik akaun @wancin11.

Antara kandungan ucapan pemimpin itu menyentuh bahawa jentera kerajaan, SPRM, dan hakim-hakim dikawal oleh kerajaan semasa, serta mempertikaikan keputusan hakim Mahkamah Tinggi berhubung sabitan empat pertuduhan ke atas bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ketua Bersatu Terengganu turut didakwa mengeluarkan beberapa tuduhan palsu mengaitkan agensi itu, selain menggesa tindakan sewajarnya diambil segera terhadap mereka yang mengeluar dan menyebarkan fitnah serta tohmahan tersebut.

Terdahulu, Razali dalam ceramahnya mendakwa SPRM dikawal kerajaan dengan merujuk kepada kes Syed Saddiq yang dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan, dan denda RM10 juta atas empat pertuduhan pecah amanah jenayah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram membabitkan dana Pemuda Bersatu berjumlah RM1.12 juta.

Beliau turut membandingkan kes Syed Saddiq dengan kes Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) terhadap 47 pertuduhan dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.