
Menteri dalam negeri itu menyaman Zuraida kerana mendakwanya menerima berjuta-juta ringgit ketika menguruskan Tabung Amanah Tok Kenali di Kelantan bagi membantu golongan miskin pada 2020.
Peguam Navpreet Singh mewakili Saifuddin berkata, Zuraida turut menarik balik kenyataan yang menyebabkannya disaman.
“Syarat penyelesaian ini adalah penuh dan muktamad, dengan kedua-dua pihak tiada sebarang kebebasan memfailkan semula saman. Tiada kos diarahkan,” kata Navpreet ketika dihubungi.
Saifuddin mendakwa kenyataan Zuraida, yang dibuat di sebuah hotel pada 8 Dis 2020, merosakkan nama baiknya.
Katanya, Zuraida bertanyakan hadirin “berapa juta dia dapat duit” ketika “menyertai Tok Kenali”, merujuk dirinya dan kaitannya dengan Tok Kenali, yayasan kebajikan bawah kerajaan Kelantan.
Saifuddin menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan daripada Zuraida, selain perintah injunksi bagi menghalangnya membuat kenyataan menghina lanjut.