Ramai hilang kerja jika emas termasuk cukai barang mewah, kata peniaga

Ramai hilang kerja jika emas termasuk cukai barang mewah, kata peniaga

Persatuan tukang emas berkata cukai itu boleh menyebabkan pendapatan peniaga jatuh mendadak.

Cukai barangan mewah yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2024 dijadualkan berkuat kuasa 1 Mei tahun depan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Cadangan cukai barangan mewah dikenakan terhadap barang kemas boleh menyebabkan kerugian besar kepada penjual dan peniaga emas, kata Presiden Persatuan Perhiasan Emas India Malaysia (MIGJA) Abdul Rasull Abdul Razak.

“Cukai 10% akan memberi impak besar kepada harga jualan barang kemas di kedai emas, yang akan menyebabkan ramai pengguna mencari sumber alternatif, seperti dari Singapura atau melalui jualan tidak rasmi.

“Ini akan menyebabkan kejatuhan pendapatan sebanyak 10-30% bagi peniaga emas, yang seterusnya akan menyebabkan pengurangan jumlah pengeluaran pada 2024,” katanya dalam sidang media.

Hadir sama Penasihat Persekutuan Peniaga Emas dan Permata Ermin Siow dan Timbalan Presiden Pang Ann Puo.

Rasull berkata, kerja pembuatan dan borong emas juga akan berkurangan sebanyak 10-20% disebabkan pengurangan pengeluaran.

“Kami menyeru kerajaan tidak mengenakan cukai barangan mewah ke atas industri emas kita kerana ia akan memberi kesan kepada ramai orang dalam industri ini, daripada pengeluar hinggalah kepada pembekal dan pengeksport.

“Kerajaan perlu mengadakan dialog berkesan dengan pemain industri, seperti peniaga bulion dan pengeluar, bagi merangka satu skim yang sesuai untuk industri ini,” kata Pang.

Cukai barangan mewah yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2024, dijadualkan berkuat kuasa 1 Mei tahun depan.

Butiran mengenai mekanisme pelaksanaan, jenis barangan, dan kadar cukai untuk barang bernilai tinggi hanya akan diumumkan apabila butirannya diluluskan Jemaah Menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.