
Peguam Cecil Abraham memaklumkan Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh, pengeluar nadir bumi itu dan kerajaan bersetuju syarat bawah cadangan perintah persetujuan.
Mahkamah Tinggi merekodkan penarikan itu dan tidak memutuskan sebarang kos.
Minggu lalu, Lynas Malaysia dilaporkan akan menarik balik permohonan semakan kehakimannya selepas Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi memperbaharui lesen operasinya sehingga Mac 2026.
Pembaharuan lesen pada bulan lalu itu akan membolehkan Lynas terus mengimport dan memproses nadir bumi selama dua tahun.
Ogos lalu, mahkamah membenarkan Lynas meneruskan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan mengenakan beberapa syarat dalam lesen operasinya.
Pengeluar nadir bumi Australia itu mencabar syarat lesen melarang import dan memproses lantanida pekat mulai 1 Jan 2024.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang menolak rayuan Lynas menggugurkan empat syarat pelesenan ditetapkan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom pada Mac 2020 susulan prosiding pada 28 April lalu.
Operasi retak dan larut lesap di kilang di Gebeng, Pahang, sepatutnya dihentikan selepas 1 Julai lalu, tetapi Chang berkata Lynas diberikan lanjutan enam bulan sehingga 31 Dis ini untuk mengelakkan gangguan kepada rantaian bekalan nadir bumi global.