Kerajaan guna pendekatan peguam negara bawa pulang Sirul

Kerajaan guna pendekatan peguam negara bawa pulang Sirul

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata sukar untuk Australia menyerahkan Sirul Azhar Umar selagi Malaysia masih mempunyai hukuman gantung.

Sirul Azhar Umar sebelum ini dijatuhi hukuman mati kerana membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan dijangka berhubung dan mendapatkan bantuan peguam negara Australia dalam usaha membawa pulang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Sirul Azhar Umar ke Malaysia, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Katanya, langkah menggunakan bantuan peguam negara kedua-dua negara adalah antara kaedah untuk membolehkan Sirul dibawa pulang ke negara ini.

“Kerajaan akan ke arah itu…’AG to AG’,” katanya selepas majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana pangkat pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di Bukit Aman.

Beliau berkata, sukar untuk kerajaan Australia menyerahkan Sirul selagi Malaysia masih mempunyai hukuman gantung.

“Masalahnya lagi, kita punya hukuman bunuh itu dimansuhkan adalah atas mandatori bunuh sahaja maksudnya hukuman ada, mandatori itu tak semestinya hukuman bunuh, boleh jadi sepanjang hayat boleh jadi penjara 20 tahun.

“Dahulunya kerajaan Australia tidak akan beri kerjasama kepada kita sekiranya hukuman itu masih berkuat kuasa, ia masih memang berkuat kuasa hukuman itu sudah dijatuhkan. Itu masalah yang kita lihat,” katanya.

Sirul sebelum ini dijatuhi hukuman mati kerana membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Dia yang berada di Australia ditahan pihak imigresen negara itu sejak 2015, sebelum dibebaskan selepas sembilan tahun berada dalam tahanan di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney.

Razarudin berkata, Sirul boleh membuat permohonan kepada mahkamah untuk hukuman itu dikaji semula.

“Melainkan Sirul nak balik ke Malaysia guna peguam dia atau diri dia sendiri, untuk memohon kepada mahkamah supaya hukuman itu dikaji semula dia nak balik ke Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.