Kerajaan belum hasrat kawal selia tambang e-panggilan

Kerajaan belum hasrat kawal selia tambang e-panggilan

Penetapan harga lantai akan beri implikasi pada harga tambang pengguna, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

E-panggilan menggunakan sistem mekanisme harga dinamik iaitu bergantung kepada penawaran dan permintaan. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan belum berhasrat untuk mengawal selia tambang perkhidmatan e-panggilan dan akan mengekalkan dasar sedia ada buat masa ini, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Loke berkata, kerajaan tidak melakukan kawalan harga atau menetapkan harga lantai kepada kadar yang diberikan kepada pemandu berikutan perkara itu perlu dilihat pada imbangan kadar upah pemandu secara keseluruhan.

“Bagi saya, apa yang diminta untuk dinaikkan kadar akan memberi implikasi pada harga tambang pengguna… Jadi kita perlu lihat pada satu perimbangan bahawa e-panggilan ini menggunakan satu sistem mekanisme harga dinamik iaitu bergantung kepada penawaran dan permintaan.

“Setakat ini dasar sedia ada kita kekalkan, tetapi kita akan terus berhubung dan adakan perbincangan dengan syarikat e-panggilan dari semasa ke semasa supaya kita dapat cari satu kaedah tanpa kerajaan meletakkan syarat selain, melihat apakah insentif yang boleh diberikan syarikat e-panggilan kepada pemandu untuk tingkatkan pendapatan mereka,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Larry Soon (PBM-Julau) berhubung tindakan susulan kementerian berkenaan isu harga tambang yang dikatakan terlalu rendah sehingga merugikan pekerja sektor ekonomi gig.

Menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai pembaharuan kepada penggiat industri teksi seluruh negara, Loke berkata penggiat industri teksi digalakkan untuk turut sama menggunakan sistem e-panggilan.

Berdasarkan dasar sistem e-panggilan ketika ini, beliau berkata pemilik teksi dibenarkan untuk terlibat dalam sektor e-panggilan sekali gus beroperasi dalam dua sistem iaitu panggilan terus dan e-panggilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.