
Pengarahnya Dr Anun Man berkata rampasan itu membabitkan 228 keratan karkas babi dan 29 kotak organ babi dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM246,240 selain dua individu turut ditahan.
“Menurut dua individu yang ditahan iaitu pemandu dan kelindan kontena yang membawa karkas itu, semua daging berkenaan disembelih di rumah sembelihan JPV namun hasil perbandingan pada cop yang ada di karkas dan di rumah sembelihan JPV adalah tidak sepadan,” katanya pada sidang media.
Anun berkata, daging babi itu dipercayai untuk dihantar ke Kuantan, berkemungkinan dibawa dari Thailand berdasarkan pelekat pada kotak berisi organ yang mempunyai tulisan Thai.
Beliau berkata, JPV amat mengambil berat kesalahan penyeludupan apa-apa karkas binatang yang tidak disembelih di rumah sembelihan dilesenkan JPV ekoran penularan wabak demam babi Afrika.
“Memang penyakit itu sudah melanda Malaysia dan ia boleh menyebabkan kerugian kepada industri ternakan khinzir dalam negara. Di Terengganu, setakat ini kes wabak tersebut hanya berlaku membabitkan babi hutan,” katanya.
Beliau berkata, semua rampasan itu yang merupakan kes pertama membabitkan daging babi di negeri ini akan dilupuskan esok.