Bersatu patut contohi DAP pinda perlembagaan, kata Loke

Bersatu patut contohi DAP pinda perlembagaan, kata Loke

Setiausaha Agung DAP berkata mereka sudah menjangkakan situasi itu apabila rang undang-undang antilompat parti kali pertama digubal.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata parti itu memutuskan untuk meminda perlembagaannya selepas melihat kelemahan undang-undang anti-lompat parti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bersatu patut mencontohi DAP dalam meminda perlembagaannya untuk menghalang Ahli Parlimen mereka mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan semasa, kata Loke Siew Fook.

Setiausaha agung DAP berkata, mereka sudah meramalkan situasi sedemikian apabila undang-undang antilompat parti kali pertama digubal, di mana Ahli Parlimen pembangkang akan berikrar menyokong kerajaan yang memerintah.

“Selepas menyedari kelemahan undang-undang antilompat parti, DAP memutuskan untuk meminda perlembagaannya,” katanya kepada pemberita.

DAP meminda perlembagaannya tahun lalu supaya wakil rakyat yang tidak mengikut ketetapan parti dalam isu asas, secara automatik akan kehilangan keahlian mereka.

Parti itu berbuat demikian sebagai perlindungan daripada “kelompongan” dalam undang-undang antilompat parti di mana Ahli Parlimen yang dipecat oleh parti tidak perlu mengosongkan kerusi mereka.

Baru-baru ini, empat Ahli Parlimen Bersatu iaitu Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli), mengisytiharkan sokongan mereka kepada kerajaan.

Pada 9 Nov, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menyifatkan undang-undang antilompat parti sebagai “lemah”, dan menggesa ia dikaji semula. Beliau berkata undang-undang itu mengandungi kelemahan kritikal yang boleh dieksploitasi oleh parti politik.

Beberapa hari lalu, bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Bersatu menolak klausa antilompat parti untuk mengisytiharkan kerusi kosong jika Ahli Parlimen menentang pendirian parti atau gagal mematuhi whip parti di Dewan Rakyat.

Peruntukan itu kemudian dikeluarkan daripada rang undang-undang yang dibentangkan di Dewan Rakyat.

Bersatu adalah sebahagian daripada gabungan yang menyokong kerajaan Ismail Sabri Yaakob.

Loke berkata, Muhyiddin perlu menyalahkan diri sendiri atas kelemahan undang-undang.

Beliau berkata, semasa perbincangan beliau dengan Hamzah Zainudin, yang merupakan wakil kerajaan pada masa itu, jelas Muhyiddin tidak berminat untuk memasukkan klausa itu dalam rang undang-undang.

Katanya, beliau juga telah memetik kes dipecat secara “tidak adil” oleh Umno selepas kenyataannya mengenai 1MDB.

“Beliau berhujah bahawa, dalam kesnya, peruntukan itu adalah tidak adil baginya untuk mengosongkan kerusi itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.