
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, Proton Perdana itu terbakar kira-kira 95%, manakala bahagian kepala lori sampah terbabit terbakar dan musnah kira-kira 50%.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh yang dibantu BBP Tambun serta Pasukan Bomba Sukarela Bercham bergerak ke lokasi selepas menerima panggilan 8.05 malam tadi.
“Ketua operasi memaklumkan bantuan kren digunakan untuk mengalihkan lori sampah terbabit dan selepas dialihkan, dikenal pasti tiga mangsa yang sudah rentung berada dalam kereta berkenaan,” katanya menurut Harian Metro.
Maklumat tiga mangsa rentung belum dapat dikenal pasti.

Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan dalam kenyataan kemudian berkata, siasatan awal mendapati kereta mangsa dari arah Tanjung Rambutan hilang kawalan lalu bertembung lori sampah dari arah bertentangan, ketika melalui jalan selekoh.
Akibat pelanggaran itu, katanya, kereta terbabit tersepit di bawah lori sampah lalu terbakar, manakala pemandu berusia 20 tahun bersama dua penumpang meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu lori sampah dan empat kelindan pula tidak mengalami kecederaan.”
Mangsa terdiri daripada M Krishna, 20, adik lelakinya, M Pavilesh, 16, dan sepupu mereka, NK Subash Varman, 16.
Bapa mangsa, M Manimaran, 50, berkata dua anaknya, Krishna dan Pavilesh keluar rumah di Taman Cempaka kira-kira 4 petang semalam.
Katanya, mereka kemudian mengambil sepupu Subash Varman yang tinggal di Bercham untuk menghantar beberapa lauk dimasak isterinya sempena Deepavali ke rumah nenek mereka.
Beliau dipetik Bernama berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu bekerja di kedai aksesori, manakala anak kedua masih di tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Chulan.
“Anak-anak saya sangat manja dengan nenek mereka dan sering ke rumah nenek pada hujung minggu atau cuti umum,” katanya sambil menambah mereka sekeluarga tidak menyambut Deepavali tahun ini susulan kematian abangnya April lalu.