Siti Mastura dirakam keterangan esok

Siti Mastura dirakam keterangan esok

Keterangan Ahli Parlimen Kepala Batas itu akan diambil susulan dakwaan kenyataan berbaur fitnah terhadap Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad akan diambil keterangan di Bukit Aman oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT.) (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis mengesahkan dua laporan diterima berhubung dakwaan berunsur fitnah oleh Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad terhadap Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Timbalan Ketua Polis Seberang Perai Utara, Siti Nor Salawati Saad berkata, keterangan timbalan ketua dewan muslimat PAS Pulau Pinang itu akan diambil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) di Bukit Aman, esok.

Menurutnya, dua laporan terbabit meminta polis menjalankan siasatan sewajarnya berhubung tuduhan Mastura berkenaan.

“Laporan pertama berhubung kejadian ini telah dibuat berkaitan laporan polis di Teluk Intan, Perak dan siasatan telah dijalankan dibawah seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sehingga kini, kita telah menerima dua laporan yang dibuat terhadap Mastura,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Terdahulu, melalui rakaman video berdurasi 46 minit 51 saat itu, Mastura pada suatu majlis di Kemaman, Terengganu baru-baru ini, mendakwa pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang juga bapa Guan Eng, adalah sepupu kepada ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

Mastura turut mendakwa Kit Siang dan Guan Eng adalah sepupu kepada bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew, manakala Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok merupakan sepupu Betty Chew, isteri Guan Eng.

Pada 10 Okt, Guan Eng meminta peguamnya memulakan prosiding jenayah terhadap Mastura atas “ucapan kebencian” selepas tempoh 48 jam untuk memohon maaf tamat.

Ahli Parlimen Bagan itu, berkata Mastura secara terang-terangan menggunakan hubungan kekeluargaan yang tidak pernah wujud bagi menimbulkan ketakutan terhadap DAP dan orang Cina yang dianggap bersifat perkauman dan ekstrimis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.