Kerajaan akan umum ‘strategi baharu’ tangani harga gula

Kerajaan akan umum ‘strategi baharu’ tangani harga gula

Perkara itu kini di peringkat akhir perbincangan bersama pemegang taruh, dengan mengambil kira pandangan pemain industri dan peniaga mikro.

Harga kawalan runcit semasa yang ditetapkan kerajaan adalah RM2.85 per kg untuk gula kasar dan RM2.95 per kg untuk gula halus. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan dijangka akan mengumumkan “strategi baharu” bagi menangani isu harga gula, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh, di sebalik gesaan ia diapung atau harga siling runcit dinaikkan.

Menurutnya, perkara itu kini di peringkat akhir perbincangan bersama pemegang taruh, termasuk kementerian terlibat dengan mengambil kira pandangan pemain industri dan peniaga mikro.

“Kita mencari satu kombinasi, penyelesaian masalah. Nak industri juga gembira di mana tidak beri kesan harga makanan dan minuman… dalam masa yang sama jaga kepentingan peniaga dan pengguna,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, berdasarkan data daripada Jabatan Perangkaan, setiap isi rumah menggunakan gula secara purata 2.6kg sebulan, berbanding peniaga kecil-kecilan memerlukan lebih banyak gula dalam perniagaan mereka.

“Peniaga besar dia kena beli gula industri. Harga tak kawal, gula dalam paket 50kg untuk buat cili sos, kicap. Mereka tak terkesan tapi yang terkesan jual apam balik, kuih bakar, akok. Kita panggil peniaga mikro.

“Jadi sekiranya kita naikkan harga gula, segmen inilah yang akan menaikkan harga makanan. Sebab tu kami kena berhati-hati dengan struktur harga baharu,” katanya.

Beliau mengulas cadangan Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin supaya kerajaan mengapung atau menaikkan harga siling runcit gula daripada RM2.85 sekilo kepada RM3.80, berdasarkan harga pasaran antarabangsa.

Ia selepas Pengerusi Felda Ahmad Shabery Cheek gusar harga gula yang rendah akan menyebabkan warga peneroka terpaksa menanggung kerugian berterusan.

Ia berikutan Felda pemegang saham FGV Holdings Berhad (FGV) dan Koperasi Permodalan Felda Bhd (KPF), yang memegang saham utama syarikat pengeluar gula utama negara MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM)

Harga kawalan runcit semasa yang ditetapkan kerajaan adalah RM2.85 sekilogram untuk gula kasar dan RM2.95 sekilogram untuk gula halus.

Sebelum ini pada Mac, Ameer menggesa pemansuhan harga siling susulan laporan bahawa industri penapisan gula sedang berbincang dengan kerajaan untuk mengapungkan harga siling runcit gula, yang menyaksikan kenaikan bersih hanya 1 sen sejak 2013.

Terdapat kenaikan 11 sen pada 2017 kepada RM2.95 sekilo sebelum harganya diturunkan kepada RM2.85 pada 2018.

Mengatakan harga gula tidak diselaraskan selama bertahun-tahun, Ameer turut menyeru kerajaan membenarkan mekanisme pasaran bebas dalam pasaran gula tetapi juga harus menghapuskan permit import untuk mengimport gula, bagi mewujudkan “padang yang sama rata”.

Berkenaan penyelarasan subsidi, Fuziah berkata sebarang penyelarasan sewajarnya “tidak menambah beban kepada subsidi negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.