Desak gencatan senjata serta-merta, bantuan ke Gaza disegera, PM gesa OIC

Desak gencatan senjata serta-merta, bantuan ke Gaza disegera, PM gesa OIC

Pada sidang OIC di Riyadh semalam, Anwar Ibrahim menggesa semua anggota OIC menggunakan saluran diplomatik masing-masing dalam setiap dialog.

Anwar Ibrahim beramah mesra bersama Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman (kiri) dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Sidang Kemuncak Tergempar OIC di Riyadh semalam. (Gambar Bernama)
RIYADH:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) secara konsisten mendesak pelaksanaan gencatan senjata serta-merta dan bantuan kemanusiaan disegerakan kepada penduduk Gaza.

Bercakap pada sesi kelapan Sidang Kemuncak Tergempar OIC bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin, beliau berkata, umat Islam di seluruh dunia mengharapkan hasil ketara serta tindakan konkrit daripada sidang kemuncak sehari itu.

“Saya menggesa semua anggota OIC menggunakan saluran dan rangkaian diplomatik masing-masing secara strategik dalam setiap dialog di semua peringkat, sama ada dua hala atau pelbagai hala, serantau mahupun antarabangsa.

“Marilah kita secara konsisten dan tegas mendesak perkara itu dalam satu kempen diplomatik bersepadu untuk memulakan pelaksanaan gencatan senjata dan menyegerakan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza,” katanya.

Sidang kemuncak tergempar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Raja Abdulaziz, Riyadh itu dihoskan Putera Mahkota Mohammed Salman, yang juga perdana menteri Arab Saudi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.