3 penganggur ditahan pecah masuk rumah sarang burung walit

3 penganggur ditahan pecah masuk rumah sarang burung walit

Polis berkata, tiga lelaki itu mengaku terbabit sekurang-kurangnya tiga kes pecah masuk rumah sarang burung walit di Raub.

Tiga lelaki berumur 29 hingga 43 tahun itu ditahan di kawasan kebun getah dekat Chegar Medang, Benus Khamis lalu.
PETALING JAYA:
Tiga lelaki ditahan kerana disyaki memecah masuk rumah sarang burung walit di Kampung Sempam Baru, Raub.

Ketua Polis Raub, Mohd Shahril Abd Rahman berkata, tiga suspek berumur 29 hingga 43 tahun itu ditahan kira-kira 2.30 petang Khamis lalu di kawasan kebun getah dekat Chegar Medang, Benus berhampiran Bentong.

Katanya, polis menerima aduan seorang lelaki mendakwa pintu rumah sarang burung walitnya tercabut dan terdapat kesan potongan di bahagian pintu kira-kira 6 pagi Khamis lalu.

Beliau berkata, pengadu mendakwa sistem penggera dirosakkan dan beberapa barangan hilang dipercayai dicuri.

Menurutnya, tiga penganggur itu masing-masing mempunyai lebih sembilan rekod lampau atas kesalahan dadah dan jenayah.

“Ujian saringan air kencing ke atas tiga-tiga suspek juga didapati positif methamphetamine dan mereka mengaku terlibat dalam kejadian itu.

“Ketiga-tiga suspek masih dalam tahanan reman polis dan kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya menurut Sinar Harian.

Shahril berkata, tiga lelaki itu mengaku terbabit sekurang-kurangnya tiga kes pecah masuk rumah sarang burung walit di Raub, tetapi pihaknya tidak menolak kemungkinan mereka terlibat dalam kes sama di luar daerah itu.

Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan peka dengan keadaan sekeliling serta kehadiran orang luar mencurigakan.

“Sebarang maklumat boleh terus disalurkan dengan menghubungi bilik gerakan IPD Raub di talian 09-3552222.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.