Kasih sayang tak berbelah bahagi Indirani buat ‘amma kannu’

Kasih sayang tak berbelah bahagi Indirani buat ‘amma kannu’

Hubungan istimewa yang terjalin sejak 34 tahun lepas antara M Indirani dan anak asuhannya, Lim Ee Lynn, menceriakan Deepavali di rumahnya saban tahun.

Hubungan istimewa seperti ibu dan anak mula terjalin antara M Indirani (kanan) dan Lim Ee Lynn apabila suri rumah itu mula mengasuh Lim pada 1990.
KLANG:
Ketika kebanyakan kanak-kanak berbangsa Cina menonton drama Kantonis kegemaran mereka di televisyen di rumah pada tahun 90-an, Lim Ee Lynn menikmati rancangan Tamil di rumah kayu milik pengasuhnya, M Indirani, di Klang.

Kedua-duanya tidak berenggang sejak suri rumah itu mula menjaga anak itu sebulan selepas kelahirannya pada Disember 1989.

“(Lim) anak jiran saya. Selepas saya melahirkan anak saya, saya tiada anak lagi, jadi saya jaga dia. Saya sangat sayang padanya.

“Saya panggilnya ‘amma kannu’, atau ‘buah hati’, dan nama itu melekat,” kata Indirani kepada FMT.

Bertahun-tahun bawah jagaan Indirani, Lim dapat bertutur dalam bahasa Tamil, dan setiap hari berbual dengan wanita dipanggilnya “Amma” itu dalam bahasa tersebut.

“Bukannya saya perlu belajar bahasa Tamil, cuma menjadi kebiasaan kerana beliau bercakap dalam bahasa itu dengan saya, dan saya membesar dengannya,” kata Lim.

Lim memenuhi hasrat Indirani memperoleh seorang lagi anak, dan Indirani mengajarnya selok-belok budaya India, daripada cara memakai sari sehingga cara memasak kari ikan paling sedap, serta cara membuat snek paling lazat, termasuk biskut suji dan muruku.

“Dia budak baik, tak pernah buat masalah. Kadang-kadang, apabila ibu bapanya kerja jauh beberapa hari, dia akan tinggal di rumah saya, kemudian tak mahu balik,” kata Indirani tersenyum, mengenang zaman kanak-kanak Lim.

Hubungan yang indah

Gambar Lim Ee Lynn ketika kanak-kanak, tersenyum riang berpakaian tradisional India.

“Anak kecil” itu kini berusia 34 tahun dan mempunyai banyak memori indah menjadi sebahagian daripada keluarga Indirani.

“(Indirani) anggap saya macam anaknya sendiri. Ketika saya masih kecil, beliau beli pakaian Deepavali untuk saya. Saya selalu sambut (Deepavali) dengan keluarganya dengan pakaian baharu,” kata Lim.

Deepavali disambut dengan meriah dan bersemangat dalam keluarga Indirani, dan Lim bersama keluarganya gembira menyertai sambutannya.

“Sejak saya lahir, (kami) sentiasa sambut Deepavali di rumah Amma. Ibu saya sendiri tahu saya akan sibuk beberapa minggu menjelang Deepavali,” kata Lim.

M Indirani (tengah) memerhatikan Lim Ee Lynn (kanan) membuat kuih suji.

Kedua-dua keluarga itu sentiasa bersama meraikan perayaan budaya dan peristiwa penting masing-masing. Indirani dihidangkan teh ketika Lim berkahwin dan menerima angpau daripada keluarganya pada Tahun Baharu Cina.

Lim berkata, apabila bersama Indirani, beliau merasakan seperti masih kanak-kanak. Sambil minum teh, mereka akan berbual tentang pelbagai topik, daripada cinta monyet sehingga politik pejabat.

“Jika (Lim) tak dapat datang ke rumah saya, beliau akan telefon dan tanya khabar saya. Kadang-kadang, dia akan telefon sebelum datang ke rumah, tanya saya masak apa, dan saya akan masak apa dia suka,” kata Indirani.

Lim menghargai setiap detik yang diluangkannya bersama Indirani, yang menjadi tempatnya bermanja selama ini.

“Beliau tak pernah berhenti jaga saya, sentiasa risaukan saya,” katanya.

Indirani turut mengasuh adik-beradik Lim dan anak-anak lain di kawasan kejiranan mereka, tetapi Lim tetap menjadi “buah hatinya”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.