
Pelbagai kumpulan dan individu berkempen supaya orang ramai memboikot syarikat atas alasan mereka dilihat sealiran dengan Israel.
Senarai perniagaan didakwa mempunyai kaitan dengan negara Yahudi itu tersebar luas, dengan pengguna media sosial turut memuat naik gambar menunjukkan premis lengang syarikat “pro-Israel”.
Pada 3 Nov lalu, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali memuji orang ramai atas inisiatif mereka kerana kempen sedemikian boleh membantu mengurangkan penderitaan rakyat negaranya.
Tetapi, ramai pekerja di syarikat terjejas bimbang dengan jaminan pekerjaan mereka akibat kemerosotan pendapatan secara mendadak.
FMT melihat lebih dekat keberkesanan dan kesan boikot dirangka dalam konflik Israel-Palestin.
Bolehkah boikot berjaya?
Pakar berpendapat, boikot sebegini tidak berkesan kerana tidak membantu perjuangan Palestin, sebaliknya ia tindakan mensabotaj diri.
Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, pemilik francais antarabangsa tidak mungkin terjejas kerana Malaysia hanya sebahagian kecil daripada pasaran mereka.
“Sebaliknya, pemegang francais di Malaysia dan pihak berkepentingan mereka, termasuk pekerja, akan menderita,” katanya kepada FMT.
Presiden Persekutuan Majikan Malaysia, Syed Hussain Syed Husman berkata, boikot berpanjangan mungkin mengancam jaminan pekerjaan lebih 18,000 pekerja dalam francais dan perkhidmatan pembekalan berkaitan.
Lai Wei Sieng dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, boikot ini tidak mungkin memberi tekanan mencukupi kepada Amerika Syarikat dan Israel kerana negara terbabit mempunyai aliran pendapatan lebih besar daripada sumber lain.
“Boikot (di Malaysia) boleh makan diri jika ramai orang hilang pekerjaan kerana ia akan memberi tekanan kepada kerajaan untuk mencari inisiatif bagi membantu pekerja terjejas,” katanya kepada FMT.
Apa alternatifnya?
Penganalisis keselamatan dan strategi Universiti Malaya, Collins Chong berkata, Israel menganggap Hamas ancaman terbesar terhadap kewujudannya berikutan serangan 7 Okt lalu, yang dilabelkan segelintir pihak sebagai “9/11” versi Israel.
Beliau berkata, melainkan berlaku perubahan dramatik dalam tekanan, Israel tidak akan menghentikan tindakan ketenteraan sehingga ia memusnahkan Hamas sepenuhnya.
“Pergerakan dan suara pro-Palestin meluas di seluruh dunia, namun ia tidak mampu mematahkan iltizam kuat Benjamin Netanyahu untuk menghapuskan Hamas.
“Justeru, peluang baharu yang akan memberi impak langsung terhadap usaha mendesak orang awam diberikan perlindungan dan gencatan senjata dilaksanakan mesti diterokai, bukannya setakat reaksi konvensional boikot dan kutukan menyeluruh terhadap Barat,” katanya kepada FMT.
Chong dan Lai senada orang ramai perlu memfokuskan pemberian bantuan nyata kepada rakyat Palestin terkesan, termasuk menghulurkan sumbangan.
Chong berkata, sebarang usaha menekan Israel perlu diserahkan kepada pemimpin dari negara penting. Bagaimanapun, kesedaran dan sokongan lebih kukuh orang ramai boleh mempengaruhi Israel untuk membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza segera dan mungkin membawa kepada gencatan senjata.
“Malaysia mampu menggunakan kedudukannya untuk menggesa negara Arab mempengaruhi Israel. Pada masa sama, Malaysia juga perlu terlibat dalam diplomasi senyap dengan AS dan pengantara seperti Doha, Ankara dan Riyadh untuk menekan Netanyahu segera melaksanakan gencatan senjata.
“Malaysia semakin penting bagi Riyadh, Tehran dan Ankara dalam bidang diplomasi agama, keterjaminan makanan, peralihan tenaga, diplomasi pertahanan dan keselamatan.”
Katanya, Malaysia perlu menjangkaui pembabitan tindak balas spontan dengan Barat dan AS. Sebaliknya, negara harus memanfaatkan saingan global dan Indo-Pasifik untuk mendapatkan kuasa bagi membantu meredakan konflik itu.