
Beliau turut meminta ibu bapa pelajar MRSM membuat laporan terus kepadanya, jika anak mereka dibuli dan pihak pentadbir MRSM cuba menyorokkan kejadian itu.
“Maaf, Mara tidak akan sesekali berkompromi dengan apa jua bentuk kes buli di MRSM, jauh sekali untuk menutup sebarang perilaku curang.
“Biarlah anak VIP (orang kenamaan) atau VVIP (golongan amat berpengaruh) mana sekalipun, you touch you go!” katanya dalam catatan Facebook semalam.
Beliau berkata, perlakuan buli jika dibenarkan berleluasa tanpa tindakan tegas akan merencatkan semua usaha membentuk peribadi generasi baharu dalam menggalas amanah besar apabila meningkat dewasa.
Katanya, MRSM sejak sekian lama melahirkan generasi bukan saja berilmu, tetapi juga diberikan penekanan dalam soal adab, akhlak dan nilai.
“Malah, manusia sebeginilah (pembuli) yang apabila memimpin mana-mana organisasi pada masa depan akan hilang nilai menghormati orang bawahan, bahkan sewenangnya menindas tanpa rasa belas kasihan dan nilai keprihatinan manusiawi.”
Baru-baru ini, tular di media sosial berhubung kes buli melibatkan sekolah berasrama penuh Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di Perak.
Pada 4 Nov lalu, polis mengesahkan berlaku kes buli membabitkan pelajar sekolah itu dan kertas siasatan sudah diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya Isnin lalu.