Pelan dekati kesihatan mental remaja dialukan, kata pakar

Pelan dekati kesihatan mental remaja dialukan, kata pakar

CEO Pusat Galen bagi Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Khalib berkata, pelan itu perlu bagi menangani isu kesihatan mental berterusan dihadapi golongan muda.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 mendapati kira-kira 424,000 kanak-kanak Malaysia mengalami isu kesihatan mental.
PETALING JAYA:
Golongan pakar mengalu-alukan cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) mewujudkan pelan tindakan bagi menangani kes kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak serta remaja yang semakin meningkat.

Azrul Khalib, CEO Pusat Galen bagi Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, pelan itu perlu bagi menangani isu kesihatan mental berterusan dihadapi golongan muda.

“Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, kira-kira 424,000 kanak-kanak di Malaysia mengalami isu kesihatan mental. Ramai kanak-kanak tidak tampil mendapatkan bantuan.

“Kajian sama membayangkan seorang dalam lapan remaja berusia 10 hingga 19 tahun, dan seorang dalam 20 kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun dianggarkan mengalami masalah kesihatan mental,” katanya kepada FMT.

Malah, katanya, bunuh diri menjadi punca kedua kematian dalam kalangan remaja 15 hingga 19 tahun.

Azrul menggesa belia turut dilibatkan dalam perancangan, pembangunan dan pelaksanaan pelan tindakan itu.

“Satu petunjuk bahawa pelan sedia ada nampaknya tidak melibatkan belia adalah penggunaan aplikasi MySejahtera.

“Golongan muda negara ini langsung tidak melihat relevannya aplikasi ini. Anda perlu mendekati mereka (belia), bukannya mengharapkan mereka datang kepada anda.”

Aplikasi MySejahtera turut merangkumi modul “MyMinda” yang membolehkan pengguna menyemak status kesihatan mental mereka dengan menjawab siri soalan. Ia turut memberi akses kepada bahan psiko-pendidikan serta perkhidmatan sokongan psiko-sosial.

Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Andrew Mohanraj, menyifatkan pelan tindakan itu langkah positif.

Beliau mencadangkan pelan itu turut meneliti pelbagai aspek yang memberi kesan kepada kesihatan mental, termasuk media sosial, ancaman penyalahgunaan bahan, cabaran akademik, hubungan dan sokongan keluarga.

“Ia juga mesti melibatkan pendekatan pelbagai sektor, merangkumi agensi pendidikan dan kebajikan sosial.

“Kesihatan mental sekian lama dipandang sebagai isu kesihatan. Jelas ada faktor sosial yang perlu ditangani, dengan KKM menjadi pengemudi.”

Pada 22 Okt lalu, KKM mengumumkan akan membangunkan pelan tindakan kesihatan mental untuk kanak-kanak dan remaja, memandangkan kes kesihatan mental semakin meningkat dalam kalangan kumpulan itu.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa menyifatkan peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan belia sebagai trend membimbangkan kerana golongan itu bakal menjadi pemimpin negara pada masa depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.