Mangsa terakhir runtuh bangunan di Pulau Perhentian ditemu

Mangsa terakhir runtuh bangunan di Pulau Perhentian ditemu

Mayat warga Indonesia itu sudah berbau selepas terperangkap di bawah runtuh lebih 24 jam.

Ketua Polis Terengganu Mazli Mazlan, berkata mayat dikenali sebagai Suparno berusia 40an dibawa keluar dari bawah runtuhan bangunan, pada 3.15 petang. (Gambar Bernama)
KUALA BESUT:
Mangsa terakhir kejadian bangunan runtuh di sebuah resort di Pulau Perhentian dekat sini ditemukan maut oleh anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) petang ini.

Ketua Polis Terengganu Mazli Mazlan, berkata mayat pekerja lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Suparno berusia 40an, dibawa keluar dari bawah runtuhan bangunan itu, pada 3.15 petang.

“Mayat kemudian dibawa ke jeti Kuala Besut sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk urusan bedah siasat.

“Keadaan mayat sudah berbau memandangkan mangsa terperangkap di bawah runtuhan itu lebih 24 jam,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Mazli berkata operasi SAR yang bermula semalam ditamatkan hari ini dan mengucapkan terima kasih kepada semua terlibat membabitkan 83 anggota daripada pelbagai agensi serta pihak lain yang turut membantu.

Tujuh individu dilaporkan terperangkap apabila tapak pembinaan bangunan setinggi tiga tingkat sebuah resort di Pulau Perhentian runtuh, pada 4.30 pagi semalam.

Runtuhan itu menimbus tujuh pekerja terdiri daripada enam warga asing dan seorang warga tempatan yang ketika itu sedang tidur di tapak pembinaan berkenaan.

Empat berjaya diselamatkan orang ramai manakala dua lagi dikeluarkan pasukan SAR pada 12.50 tengah hari semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.