Guan Eng ambil tindakan undang-undang terhadap Mastura atas ‘ucapan kebencian’

Guan Eng ambil tindakan undang-undang terhadap Mastura atas ‘ucapan kebencian’

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng meminta peguam memulakan prosiding undang-undang jenayah terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas itu selepas tempoh 48 jam untuk mohon maaf tamat.

Lim Guan Eng berkata, Siti Mastura Mohamad perlu bertanggungjawab terhadap komen ‘perkauman dan ekstremisnya’ yang menghasut penyokong PAS.
PETALING JAYA:
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng meminta peguamnya memulakan prosiding jenayah terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Mohamad atas “ucapan kebencian” selepas tempoh 48 jam untuk memohon maaf tamat malam tadi.

“Siti Mastura membuat ucapan kebencian itu di sebuah program di Kemaman pada 4 Nov lalu sarat dengan pembohongan dan fitnah jahat,” katanya dalam kenyataan.

Guan Eng berkata, timbalan ketua Wanita PAS itu membuat beberapa dakwaan “perkauman dan ekstremis” dalam ucapannya di sebuah perhimpunan politik Sabtu lalu, termasuk menuduh bapanya yang juga veteran DAP, Lim Kit Siang adalah sepupu kepada pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

Siti Mastura turut mendakwa Kit Siang dan Guan Eng adalah sepupu kepada bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew, manakala Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok merupakan sepupu Betty Chew, isteri Guan Eng.

Wakil rakyat PAS itu turut menuduh beberapa pemimpin DAP mempunyai pertalian darah dengan keluarga Lim.

“Beliau yang secara terang-terangan menggunakan hubungan kekeluargaan sebenarnya tidak wujud hanya untuk menimbulkan ketakutan terhadap DAP dan orang Cina, jelas bersifat perkauman dan ekstremis.

“Apa yang membuatkan kelakuan tidak bertanggungjawab Siti Mastura menjadi lebih teruk ialah tiada langsung rasa sesal. Beliau enggan menunjukkan bukti dakwaan hubungan kekeluargaan tersebut, malah tidak langsung menarik balik atau memohon maaf atas pembohongan dan fitnah jahatnya.”

Guan Eng berkata, penyokong PAS langsung tidak mempedulikan fakta Siti Mastura berbohong atau membuat kenyataan berbaur perkauman dan ekstremis selagi kenyataan itu menentang pemimpin DAP.

Ahli Parlimen Bagan itu menuntut Presiden PAS, Hadi Awang dan Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin menyuarakan pendirian mereka terhadap komen Siti Mastura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.