GLC gantung 3 agensi pengambilan, bayar balik pekerja ‘tertipu’ RM72 juta

GLC gantung 3 agensi pengambilan, bayar balik pekerja ‘tertipu’ RM72 juta

FGV Holdings berkata, pihaknya telah memperkenalkan mekanisme yang dipertingkatkan untuk mengenal pasti ejen yang ingkar.

Aktivis Andy Hall mendakwa FGV Holdings menggunakan perkhidmatan beberapa agensi pengambilan pekerja yang tidak termasuk dalam senarai rasmi kerajaan.
PETALING JAYA:
Sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang dituduh melanggar peraturan dalam pengambilan pekerja asing, berkata pihaknya telah mengambil tindakan terhadap agensi pengambilan pekerja yang ingkar, dan membayar balik RM72.2 juta kepada pekerja yang “ditipu”.

FGV Holdings Bhd berkata, ia sedang meneliti dakwaan aktivis Andy Hall bahawa syarikat itu menggunakan ejen tidak sah yang mengenakan yuran pengambilan terhadap pekerja, sekali gus melanggar memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan negara sumber.

“FGV komited menegakkan standard tertinggi dalam amalan melibatkan pengambilan pekerja asing,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nazrul Mansor dalam balasan e-mel kepada FMT.

“Melalui mekanisme usaha wajar kami yang dipertingkatkan, tiga agensi telah digantung kerana gagal mematuhi syarat beretika kami (dalam) pengambilan pekerja.

“Syarikat akan membayar balik mana-mana pekerja yang didapati membayar yuran pengambilan. Sehingga kini, FGV telah membelanjakan sejumlah RM72.2 juta bagi pembayaran balik.”

Dalam aduan rasminya kepada Kementerian Sumber Manusia dan FGV, Hall mendakwa syarikat itu menggunakan perkhidmatan beberapa agensi pengambilan pekerja yang tidak termasuk dalam senarai rasmi kerajaan.

Beliau juga mendakwa, walaupun kerajaan mengamalkan dasar pengambilan “kos sifar”, agensi tenaga kerja Malaysia sering mengambil wang untuk kos pengambilan daripada majikan, ejen negara sumber dan pekerja.

Nazrul berkata, FGV komited sepenuhnya dalam mematuhi semua garis panduan, undang-undang dan peraturan yang terpakai di Malaysia, termasuk berkaitan dengan pengambilan pekerja asing dan prinsip hak asasi manusia seperti yang digariskan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Kami melayan semua kakitangan kami, termasuk pekerja asing, dengan bermaruah dan penuh hormat. Selain itu, FGV melibatkan sebuah organisasi luar yang bebas untuk menyelia pengambilan pekerja asing tahun ini,” katanya.

Nazrul berkata, ejen pengambilan pekerja yang dikekalkan oleh FGV dinilai dari segi amalan yang bertanggungjawab dan beretika. Para pekerja turut ditemu bual mengenai pengalaman mereka diambil bekerja, tambahnya.

“FGV hanya akan melibatkan agensi yang menunjukkan komitmen dan usaha untuk terus melaksanakan amalan bertanggungjawab dan beretika.”

Hall, yang kecewa dengan respons buruk pihak berkuasa Malaysia berhubung nasib ratusan pekerja Bangladesh yang tidak mempunyai pekerjaan di sini, selain dibelenggu hutang, baru-baru ini merujuk perkara itu kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk tindakan selanjutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.