Bicara tuntutan palsu RM1.18 juta bekas MB Perlis mulai Julai 2024

Bicara tuntutan palsu RM1.18 juta bekas MB Perlis mulai Julai 2024

Azlan Man didakwa membuat tuntutan palsu perjalanan dan pengubahan wang haram.

Azlan Man merupakan menteri besar Perlis dari Mei 2013 hingga November 2022. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen di sini menetapkan sembilan hari antara Julai dan Ogos 2024 untuk mendengar kes tuntutan palsu dan pengubahan wang haram terhadap bekas menteri besar Perlis Azlan Man.

Ketika pengurusan kes hari ini, Hakim Azura Alwi menetapkan perbicaraan kes itu pada 18 dan 19 Julai serta 1, 2, 19 hingga 23 Ogos depan.

Beliau turut menetapkan 12 Jan 2024 untuk pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah keputusan representasi dikemukakan Azlan kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pertuduhan itu.

Tarikh itu diberikan selepas Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat memaklumkan mahkamah bahawa beliau perlu memberi taklimat kepada peguam negara berhubung representasi terbabit.

Pada 10 April lalu, Azlan yang juga menteri besar Perlis dari Mei 2013 hingga November 2022, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara lebih RM1.18 juta antara 2013 dan 2017 mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jika didapati bersalah, Azlan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan minimum denda lima kali ganda nilai tuntutan.

Azlan kemudian mengaku tidak bersalah terhadap lima lagi pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.06 juta yang didakwa diterimanya daripada dua syarikat pelancongan antara 2014 dan 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.