
Bagaimanapun, tertuduh, B Palanivelu, 60, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin, menurut Harian Metro.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia yang bertugas sebagai ketua platun Rela secara tidak jujur menggunakan satu dokumen sebagai tulen yang diketahui adalah palsu iaitu invois yang mengandungi tuntutan bayaran penugasan Rela bagi bulan April 2023 berjumlah RM14,256 kepada sebuah syarikat.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat syarikat terbabit di Sungai Buloh pada 8 Mei 2023.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Asmaa’ Zamri mencadangkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Palanivelu yang tidak diwakili peguam kemudiannya merayu jaminan dikurangkan kerana dia masih menanggung lima anak serta memberi kerjasama setiap kali dipanggil SPRM.
Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan diingatkan agar tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Sebutan semula untuk serahan dokumen ditetapkan 15 Januari depan.