
Sambil mendakwa wujud unsur ugutan dan rasuah dalam tindakan wakil rakyat itu, Presiden Muhyiddin Yassin berkata laporan akan dibuat dalam tempoh sehari dua ini selepas mengumpul segala maklumat.
“Kita beberapa hari lalu membuat pengumuman kes Ahli Parlimen Bersatu khasnya ada diugut, ditawar dengan faedah, tawaran seperti kewangan atau peruntukan yang mana bagi kami adalah tindakan melanggar peruntukan Akta SPRM,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di Publika.
Muhyiddin memberi contoh Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim yang memaklumkan mereka diberikan tawaran serta ugutan sebelum bertindak menyokong Anwar.
“Dalam kes Ahli Parlimen Gua Musang beliau maklum dalam mesyuarat Bersatu Kelantan, beliau dapat tawaran bagaimanapun menolak semuanya…tetapi tiga hari selepas itu beliau umum sokong sebelah sana dan kita suspek ada perkara berlaku yang langgar peraturan.
“Macam juga kes Kuala Kangsar jelas ada disebut dalam laporan itu, tarikh-tarikh bila mana pihak tertentu yang membabitkan tauke ugut kalau tak buat itu (sokongan) akan dikenakan hukuman oleh SPRM.
“Ada elemen intimidasi atau pendakwaan untuk dapatkan sokongan dengan tawaran bernilai jutaan ringgit dan sebagainya,” dakwanya.
Sementara itu, Muhyiddin menggesa Akta Lompat Parti yang diwartakan 6 Sept lalu dikaji semula kerana berpandangan terdapat kelemahan.
Selain Iskandar dan Azizi dua lagi Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Anwar adalah Zahari Kechik (Jeli) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Keempat-empat mereka bagaimanapun menyatakan kekal setia kepada Bersatu.
Suhaili dan Iskandar dikenakan tindakan penggantungan oleh Bersatu masing-masing selama enam dan empat tahun.