Ahli Parlimen Ketereh enggan sokong PM, tak lagi harap peruntukan

Ahli Parlimen Ketereh enggan sokong PM, tak lagi harap peruntukan

Khlir Mohd Nor berkata beliau tidak akan mengikut langkah empat Ahli Parlimen PN sokong Anwar Ibrahim untuk mendapat peruntukan wakil rakyat.

Khlir Mohd Nor menarik perhatian ramai apabila memberitahu beliau terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk memberi sumbangan ketika menziarah kematian di kawasannya.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Ketereh Khlir Mohd Nor menegaskan beliau tidak akan mengikut jejak langkah empat rakannya daripada Perikatan Nasional (PN) yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mendapat peruntukan wakil rakyat.

Beliau yang lantang dalam isu peruntukan wakil rakyat berkata dirinya tidak lagi akan “mengemis” untuk menikmati dana berkenaan, selepas merayu beberapa kali pada sidang Dewan Rakyat sebelum ini.

“Saya sudah tak fikir tentang peruntukan Ahli Parlimen lagi dan saya tak mengharap apa-apa lagi.

“Paling penting berjuang bersama PN selagi dipilih rakyat Ketereh,” katanya kepada FMT.

Khlir berkata, beliau akan mencari ikhtiar untuk mendapatkan dana bagi memastikan kebajikan rakyat di kawasannya terbela.

“Insya-Allah…Allah bersama orang yang benar,” katanya.

Pada sidang Dewan Rakyat September lalu, Ahli Parlimen penggal pertama itu menarik perhatian ramai apabila memberitahu beliau terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk memberi sumbangan ketika menziarah kematian di kawasannya.

Dakwanya, ketiadan peruntukan wakil rakyat kepada pembangkang juga menyebabkan pusat khidmatnya tidak dapat beroperasi.

Sehingga kini seramai empat Ahli Parlimen PN menyatakan sokongan kepada Anwar dengan alasan demi kepentingan kawasan diwakili.

Wakil rakyat Bersatu itu adalah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Zahari Kechik (Jeli).

Kelmarin, Suhaili berkata peruntukan wakil rakyat kepadanya diluluskan, lebih seminggu selepas beliau mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.