
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata jenis dadah dirampas ialah ganja seberat 261.766g, heroin (216.051g) dan heroin base (15.498g) yang boleh dibekalkan kepada 2.38 juta penagih.
“Selain itu, polis menyita empat kenderaan jenis Toyota Vellfire, Honda Stream dan dua Honda City serta menyita sebuah akaun bank dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM269,229,” katanya pada sidang media.
Hussein berkata, semua 10 lelaki warga tempatan ditahan dipercayai ahli sindiket berusia lingkungan 18 hingga 44 tahun manakala hasil saringan ujian air kencing mendapati empat daripada mereka positif dadah.
Beliau berkata, lima daripada 10 suspek berkenaan juga memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah lain.
Hussein berkata, pihaknya percaya dadah berkenaan diseludup dari negara jiran di sebelah utara dan sindiket itu bergiat aktif mengedar dadah sejak awal Januari tahun ini.
Katanya, kejayaan menumpaskan sindiket berkenaan hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Shah Alam.
“Semua suspek direman tujuh hari bermula 3 Nov bagi membantu siasatan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.