
Dua pemimpin yang enggan dinamakan memberitahu FMT, orang ramai tidak patut percaya cakap-cakap berhubung kemungkinan kedua-duanya bekerjasama semula.
Seorang pemimpin menyifatkan ia sekadar cubaan Bersatu untuk meningkatkan kelayakannya.
“Kekuatan mereka semakin merosot kerana lebih ramai Ahli Parlimen Bersatu berikrar menyokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Mereka takut PAS hilang kepercayaan kepada mereka.
“Mungkin mereka percaya dengan menggembar-gemburkan kemungkinan Muhyiddin dan Najib bekerjasama semula, mereka boleh memastikan PAS kekal dalam Perikatan Nasional (PN).”
Pemimpin itu berkata, realitinya Najib yang dipenjarakan kekal sebagai tokoh popular, bukan saja dalam Umno, tetapi juga dalam kalangan pemimpin PAS.
“Mereka (pemimpin PAS) mempunyai hubungan baik dengan Najib,” kata sumber itu.
Seorang lagi pemimpin Umno senada dengan berkata, ada individu dalam Bersatu cuba mewujudkan persepsi Najib terbuka untuk bekerjasama dengan mereka.
“Najib masih mempunyai sokongan kuat akar umbi dalam Umno, jadi mereka mahu memberi tamparan kepada Umno.
“Wujud rasa tidak gembira dalam kalangan penyokong Najib, beliau masih dinafikan keadilan dan ini salah satu sebab utama Umno tidak menunjukkan prestasi baik dalam pilihan raya baru-baru ini.
“Tetapi, saya belum nampak Najib-Muhyiddin bekerjasama semula.”
Najib tidak sebulu dengan bekas timbalannya, Muhyiddin pada 2015 yang membawa kepada pemecatannya.
Ketika itu, Muhyiddin mendakwa dipecat kerana membangkitkan persoalan mengenai 1MDB.
Tetapi, Najib berkata, Muhyiddin dipecat kerana bersubahat menentangnya dengan Dr Mahathir Mohamad dan Mukhriz Mahathir sejak 2014.
Sumber berkata, walaupun terdapat permusuhan antara Muhyiddin dan Najib, perkara sama tidak boleh dikatakan untuk Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhannya.
“PAS, yang merupakan kuasa sebenar dalam PN, tiada masalah dengan Najib.”
Semalam, Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris dilaporkan berkata, tiada masalah untuk Muhyiddin kembali bekerjasama dan Najib, walaupun kedua-duanya mempunyai sejarah “permusuhan panjang”.