Jabatan Peguam Negara jawab saman timbang tara Goldman Sachs

Jabatan Peguam Negara jawab saman timbang tara Goldman Sachs

Balasan saman Goldman Sachs berkait penyelesaian 1MDB itu difailkan di Pendaftar Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London.

Goldman Sachs Group Inc memfailkan saman timbang tara terhadap Putrajaya di tengah-tengah perselisihan faham mengenai penyelesaian 1MDB. (Gambar Bloomberg)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Peguam Negara memfailkan balasan kepada Pendaftar Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London (LCIA) berhubung permohonan untuk timbang tara pelaksanaan perjanjian penyelesaian antara kerajaan Malaysia, 1MDB dan Goldman Sachs Group, Inc (Goldman Sachs).

Jabatan Peguam Negara menerusi kenyataan malam tadi memaklumkan pihaknya juga mengemukakan salinan balasan tersebut kepada pihak Goldman Sachs.

Menurut kenyataan itu, ia berdasarkan Artikel 2.1 Peraturan LCIA, kerajaan Malaysia hendaklah memfailkan balasan kepada Pendaftar Mahkamah LCIA dalam tempoh 28 hari dari tarikh permohonan untuk timbang tara tersebut difailkan.

“Pada 11 Okt lalu, Goldman Sachs menamakan kerajaan Malaysia sebagai responden dalam satu permohonan untuk timbang tara yang difailkan di LCIA.

“Permohonan untuk timbang tara itu adalah bagi mendapatkan relif-relif tertentu yang dikatakan berbangkit daripada pelaksanaan perjanjian penyelesaian bertarikh 18 Ogos 2020 yang dimeterai antara Malaysia, 1MDB dan Goldman Sachs,” menurut kenyataan itu.

Jabatan Peguam Negara turut memaklumkan komited dalam memastikan kepentingan kerajaan sentiasa dilindungi dan kekal terpelihara sepanjang prosiding berkaitan permohonan untuk timbang tara yang difailkan Goldman Sachs itu.

Pada 11 Okt lalu, Bloomberg melaporkan bank pelaburan itu memfailkan saman timbang tara terhadap Putrajaya di tengah-tengah perselisihan faham mengenai penyelesaian 1MDB.

Bank berpangkalan di New York itu mendakwa kerajaan Malaysia “melanggar obligasi untuk mengkreditkan aset dengan sewajarnya berdasarkan jaminan yang diberikan oleh Goldman Sachs dalam perjanjian penyelesaian dan untuk mendapatkan semula aset lain”.

Ia juga mendakwa eksekutif bank itu “semakin kecewa” dengan tuntutan kerajaan supaya perjanjian itu diolah semula supaya “penalti yang lebih berat” dikenakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.