
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) berpendapat hukuman berat tidak memadai tanpa ada perancangan teliti.
Damien Thanam Divean berkata setiap agensi kerajaan terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memantau aktiviti dijalankan di sepanjang pesisir sungai dan mencegah aktiviti boleh memudaratkan.
“Beban itu bukan hanya perlu diletak pada Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melakukan tindakan,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, PBT perlu ‘membuka matanya’ dengan lebih besar dan tidak membiarkan pencemaran berlaku termasuk berhampiran ibu pejabatnya.
“Sebagai contoh, Sungai Klang yang terletak hanya berapa meter sahaja daripada bangunan PBT tertentu tetapi tahap pencemaran sungai itu sangat sarat dengan pencemaran plastik.
“Dianggarkan 800 tan dikeluarkan setiap bulan daripada sungai itu.
“Ringkasnya semua PBT kena main peranan kerana terbabit dalam perancangan dan kelulusan pembangunan,” katanya.
Peka turut mencadangkan imbuhan wang ringgit kepada pemberi maklumat berkaitan pencemaran yang pembayaran diambil daripada denda pencemar sungai.
“Contohnya 25%-30% denda dikutip diberi kepada pemberi maklumat,” katanya.

Pada 6 Nov lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan sedang meneliti mengenakan hukuman lebih berat terhadap individu atau pihak didapati melakukan kesalahan membuang sampah ke dalam sungai.
Katanya, langkah itu bagi menimbulkan rasa gerun kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan tersebut kerana ia perkara serius sehingga menyebabkan berlakunya banjir dan pencemaran alam sekitar.