Bercakap dengan fakta, jangan buta sejarah, kata Zahid

Bercakap dengan fakta, jangan buta sejarah, kata Zahid

Zahid Hamidi mengulas kontroversi Ahli Parlimen PAS yang mendakwa pemimpin DAP mempunyai kaitan dengan Chin Peng dan bekas perdana menteri Singapura.

Zahid Hamidi berkata seseorang mesti bercakap berdasarkan fakta. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata Ahli Parlimen tidak seharusnya buta sejarah apabila berucap di khalayak ramai.

“Untuk menuduh seseorang itu komunis dan sebagainya, saya setuju supaya tidak ada buta sejarah terutama bagi mereka yang menyebutkan perkara itu,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk di Dewan Rakyat.

“Kita mesti bercakap berdasarkan fakta. Bukan dengan tuduhan kepada seseorang, apatah lagi kepada mana-mana parti politik di negara ini.”

Presiden Umno berkata demikian ketika menjawab RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mahu mendapatkan pandangannya mengenai dakwaan kontroversi oleh Ahli Parlimen PAS.

Dalam ceramah di Terengganu baru-baru ini, Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad mendakwa keluarga Lim Kit Siang dan beberapa pemimpin utama DAP mempunyai kaitan dengan bekas pemimpin komunis Chin Peng dan bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew.

Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng, memberi tempoh 48 jam kepada Mastura untuk membuktikan dakwaannya.

Beberapa pemimpin DAP turut membuat laporan polis terhadap Mastura hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.