Peguam mohon batal permohonan SPRM dapatkan dokumen berhubung penyelesaian 1MDB

Peguam mohon batal permohonan SPRM dapatkan dokumen berhubung penyelesaian 1MDB

Rosli Dahlan turut menuntut ganti rugi atas dakwaan SPRM menyalahgunakan proses mahkamah dan memfitnahnya.

Pada Oktober, SPRM memohon Rosli Dahlan mengemukakan 10 dokumen termasuk surat pelantikannya sebagai peguam 1MDB, penyata akaun serta akaun firma guaman. (Gambar X)
KUALA LUMPUR:
Peguam Rosli Dahlan memohon untuk membatalkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendapatkan dokumen daripadanya yang disyaki menerima rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan proses penyelesaian antara kerajaan Malaysia dengan Ambank serta Goldman Sachs berkenaan isu 1MDB.

Rosli, 62, selaku pemohon memfailkan notis usul itu di Mahkamah Tinggi pada 3 Nov menerusi Tetuan Vin Law Co dengan menamakan SPRM sebagai responden.

Peguam itu antara lain memohon SPRM membayar ganti rugi punitif dan teladan kepadanya atas dakwaan menyalahgunakan proses mahkamah dan memfitnah beliau dengan menamakannya sebagai responden pertama dalam permohonan SPRM.

Rosli, yang merupakan peguam kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam kes berkaitan projek Jana Wibawa mendakwa, SPRM tidak mempunyai kedudukan undang-undang atau locus standi untuk mendapatkan perintah yang dipohon dalam permohonan itu.

Beliau turut mendakwa tindakan SPRM menamakannya sebagai responden pertama adalah berniat jahat, mengaibkan, remeh, menyusahkan, dan memfitnah, sedangkan tiada sebarang dokumen yang dipohon dalam permohonan SPRM berkaitan dengan peguam itu.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim K Muniandy, esok.

Pada 11 Okt, SPRM memohon peguam itu mengemukakan 10 dokumen antaranya surat pelantikan Rosli sebagai peguam 1MDB, penyata akaun serta akaun firma guaman, Rosli Dahlan Saravana Partnership dan dokumen itu diperlukan SPRM untuk mengenal pasti pelantikan peguam itu sebagai peguam 1MDB dalam urusan penyelesaian dengan pihak kerajaan Malaysia berkaitan 1MDB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.