
Peniaga tempatan berkata Kampung Cina tidak lagi meriah dengan pelancong selepas operasi jeti berkaitan dipindahkan dari Jeti Syahbandar yang berdekatan ke Jeti Taman Tamadun Islam (TTI), yang terletak kira-kira 6km dari situ.

Pemilik hotel butik dan kafe, Erik Lee Fei Hong, 43, berkata dahulu pelancong yang mendarat di Jeti Syahbandar akan membanjiri Pasar Payang di Kampung Cina yang terkenal dengan aneka barangan tempatan, kerana ia betul-betul berdekatan.
Jeti Taman Tamadun Islam menerima kehadiran pelancong untuk ke Pulau Redang, tahun lepas.
“Salah satu punca itu pasal jeti kita pindah ke seberang sana. Dulunya ada jeti dekat Syahbandar belakang Pasar Payang. Pelancong lebih senang dan mudah ‘parking’ di sana. Nak pergi Pasar Payang, nak makan-makan di bandar, lawat Kuala Terengganu atau ‘Chinatown’ lebih mudah pasal jalan kaki.”
Pelancong dari pulau yang mendarat di Jeti Syahbandar tidak akan melepaskan peluang membeli keropok dan barang tempatan di Pasar Payang dan meneroka bandar berhampiran, katanya.
“Tahun lepas masih OK, mula tahun ini memang kurang… tak ramai sangat. Sebelum ini kita boleh nampak heret beg keluar dari pulau mereka akan berhenti di Pasar Payang dan kawasan bandar. Tahun ini jarang nampak pelancong.”
Selain isu jeti, bangunan-bangunan lama di Kampung Cina juga kelihatan usang atau kosong dan dipenuhi semak-samun.
“Dia nampak macam bangunan tertinggal. Ada juga bangunan lama dan diroboh dan buat bangunan baharu. Memang nampak facade ada lepas buat tapi keunikannya dah hilang,” kata Erik.
Beliau yang juga generasi ke-4 peranakan Terengganu mengeluh program tarik pelancong yang diadakan secara kecil-kecilan di pusat beli-belah nampaknya “tidak memberangsangkan”.
Erik percaya kerajaan wajar menggiatkan kebudayaan peranakan yang unik sekiranya mahu menjayakan projek ‘Chinatown’.
“Saya rasa kita lebihkan budaya. Pasal kalau kita dekat Terengganu kita bukan sahaja kata macam Cina apa-apa bangsa Cina ada spesifik, macam Melaka ada Baba Nyonya, kita dekat Terengganu ada Mek Awang,” katanya.
Kerajaan Terengganu baru-baru ini mengumumkan ia akan menjenamakan semula Kampung Cina sebagai Chinatown, dalam usaha menarik pelancong dari luar negara.
Mengapit jalan sepanjang kira-kira 1km, Kampung Cina dikatakan berusia lebih 300 tahun dan dibuka pada akhir kurun ke-19. Ia dianggap sebagai antara penempatan awal komuniti Cina di Tanah Melayu.

Sementara itu, pengusaha restoran, Toh Zhen Han, 30, yang sudah setahun kembali ke kampung halaman merasakan Kampung Cina semakin sunyi dan tidak semeriah ketika beliau kecil.
Beliau berkata dahulu tanglung akan ditukar menjelang Tahun Baharu Cina.

“Sebelum ini ada tukar tapi sekarang dah tidak ada, macam tak peduli. Tahun Baharu Cina ini tanglung orang bagi. Ada komuniti bagi tanglung. Kalau tak ada…kosong.”
Toh kelihatan merindui suasana pesta yang pernah beliau alami ketika kecil.
“Tidak ada festival, sekarang kurang. Banding bila saya budak lagi, masa itu banyak, siap ada pentas. Sekarang tidak ada, saya tak tahu kenapa,” katanya yang berkelana di Kuala Lumpur kira-kira 10 tahun lalu.
Toh juga merasakan pemindahan operasi jeti berkaitan mengehadkan bilangan pelancong ke Kampung Cina, kerana mereka perlu berkenderaan untuk ke sana berbanding sekadar menapak sebelum ini.
Beliau benar-benar berharap ‘Chinatown’ akan kembali sibuk dan dipenuhi orang ramai, seperti dahulu yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk merasai keunikan Kampung Cina.
“Last time memang baik, masa kecil OK. Acara banyak sini. Tahun Baharu Cina mereka hias kedai, ada pertandingan sini macam pasar malam, macam Jonker Street (di Melaka). Sekarang tidak ada. Sekarang dah tak buat dah.”
“Sekarang tidak ada acara. Tidak ada orang turun sini. Cina ada banyak tapi mereka duduk jauh,” katanya.