Dana ‘ikat’ sokongan untuk kerajaan gambarkan realiti malang politik, kata Bersih

Dana ‘ikat’ sokongan untuk kerajaan gambarkan realiti malang politik, kata Bersih

Badan pemantau pilihan raya itu menggesa kerajaan dan pembangkang meterai MoU seperti dibuat kerajaan Ismail Sabri Yaakob dan PH pada 2021.

Bersih berkata MoU boleh merangkumi pelbagai item reformasi.
PETALING JAYA:
Keputusan empat Ahli Parlimen pembangkang menyokong kerajaan mengetengahkan “realiti malang politik” negara hari ini yang melihat keperluan untuk dana pembangunan menjejaskan kesetiaan politik, menurut Bersih.

“Mereka yang sehaluan dengan kerajaan mendapat wang awam, dan sebaliknya mereka yang tidak menyokong kerajaan akan dihukum dengan ditahan peruntukan tersebut,” kata kumpulan pemantau pilihan raya itu dalam kenyataan.

Menurut Bersih, kerajaan harus menghormati pilihan pengundi kawasan pembangkang dan tidak menggunakan peruntukan sebagai cip tawar-menawar untuk menarik sokongan Ahli Parlimen pembangkang.

Bersih menggesa supaya Putrajaya dan Perikatan Nasional menandatangani memorandum persefahaman (MoU) serupa yang dimeterai antara kerajaan Ismail Sabri Yaakob dengan pembangkang ketika itu, Pakatan Harapan, pada 2021.

MoU berkenaan menetapkan peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen selama empat bulan.

Bersih berkata, MoU boleh merangkumi pelbagai reformasi, termasuk pendanaan awam untuk semua parti mengikut peratusan undi, pengiktirafan jemaah menteri bayangan, selain reformasi Parlimen lain.

“Ini akan membolehkan kedua-dua kerajaan dan pembangkang bekerjasama dan bersaing secara profesional dalam mengatasi cabaran ekonomi dan mempertingkatkan kesejahteraan rakyat.”

Turut dicadangkan, supaya kerajaan dan pembangkang meminta bantuan Speaker Dewan Negara Wan Junaidi Tengku Jaafar, yang mengotakan kebanyakan reformasi institusi dalam MoU 2021 itu.

Kenyataan Bersih itu dibuat beberapa jam selepas Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik menjadi yang keempat dari Bersatu menyokong kerajaan.

Tiga yang lain adalah Ahli Parlimen Gua Musang Azizi Abu Naim, Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman, dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, yang memilih menyokong pentadbiran terkini demi kawasan mereka.

Bersatu kemudian menggantung keahlian Iskandar Dzulkarnain dan Suhaili masing-masing empat dan enam tahun.

Terdahulu hari ini, Suhaili mengesahkan kepada FMT beliau menerima peruntukan untuk kawasannya selepas mengisytiharkan sokongan untuk kerajaan Anwar, pada 30 Okt.

Katanya, peruntukan diterima atas dasar pro rata, namun beliau tidak mendedahkan jumlahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.