
Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob menganggap perkembangan semasa sebagai suatu titik tolak, yang mengasingkan antara mereka yang istiqamah dan yang mementingkan diri.
“Bukan kita seorang sahaja yang susah, fikirkan kawan-kawan lain dalam jemaah yang kekal setia dan istiqamah. Kalau mereka boleh, kenapa tidak kita?”
“Sedih melihat kawan-kawan yang lemah,” katanya di Facebook.
Hari ini Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik menjadi wakil rakyat Bersatu keempat yang mengisytiharkan sokongan kepada perdana menteri.
Pengumuman Zahari menyusuli tindakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman, dan Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim.
Zahari berkata beliau mahu memastikan rakyat Jeli tidak menjadi mangsa keadaan dan tidak ketinggalan menerima semua bentuk pembangunan dan bantuan daripada kerajaan pusat.
Sebelum itu, Suhaili memaklumkan sudah menerima peruntukan bagi kawasannya.