
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata kenyataan Zahid itu membuktikan gesaan pelbagai yang mahu beliau berundur sebagai presiden Umno tidak diabaikan.
Bagaimanapun, Oh berkata Zahid mungkin cuba memesongkan sebahagian desakan untuk beliau berundur. “Sekiranya desakan tersebut semakin reda, beliau mungkin akan mengubah fikiran,” katanya kepada FMT.
Penganalisis dari Universiti Sains Malaysia, Azmil Tayeb juga sependapat dengan Oh dan berkata masih terlalu awal untuk menentukan sama ada Zahid akan berundur dari Bagan Datuk, kawasan parlimen yang diwakilinya sejak 1995.
“Banyak perkara boleh berlaku sebelum PRU16 nanti. Keputusan Zahid sama ada akan bertanding lagi atau tidak juga bergantung pada keputusan kes mahkamahnya,” kata Azmil.
Zahid sebelum ini didakwa 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan ubah wang haram membabitkan puluhan jutaan ringgit dalam kes Yayasan Akalbudi. Bagaimanapun, mahkamah pada September lalu melepas tanpa membebaskan Zahid daripada tuduhan itu.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata “pengumuman” Zahid tidak mengejutkan ekoran tekanan dalaman dihadapinya sebagai presiden Umno, susulan keputusan pilihan raya paling teruk parti itu pada PRU15 dan PRN enam negeri lalu.
Katanya, Zahid juga menang tipis di Bagan Datuk pada PRU15 lalu apabila hanya memperoleh majoriti 348 undi menentang calon PKR Shamsul Iskandar Akin.
Azmi juga percaya pengunduran Zahid sebagai presiden Umno adalah baik untuk parti itu kerana pemimpin baharu dan lebih segar akan menerajui kepimpinan. Pengunduran Zahid juga boleh mengembalikan semula sokongan pengundi Melayu yang kini beralih kepada Perikatan Nasional.
Tambahnya, pemimpin Umno yang dipecat atau digantung ketika pemerintahan Zahid, seperti Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan boleh kembali semula ke pangkuan parti itu.
“Apabila Zahid tidak lagi menerajui Umno, saya berpendapat adalah lebih baik untuk Umno untuk menerima kembali mereka yang disingkirkan atau digantung dari Umno,” katanya.
Oh juga bersetuju bahawa pengunduran Zahid akan kembali menguatkan Umno. Bagaimanapun, katanya, ini boleh melemahkan kerajaan perpaduan, kerana kepimpinan baharu Umno mungkin tidak mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan dalam PRU16 nanti.