
Larry Sng (PBM-Julau) berkata, kempen kerajaan sepatutnya ditekankan di Eropah dan AS memandangkan memasarkan minyak sawit di pasaran baharu mengambil masa.
Katanya, impak melobi di dua wilayah itu akan dirasai di seluruh dunia.
“(Ini) kerana Amerika (Syarikat), Eropah, Kanada, Australia…mereka adalah satu gabungan dan undang-undang mereka akan diterima pakai di negara lain,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.
Sng juga berkata, sejumlah RM15 juta diperuntukan bawah Belanjawan 2024 bagi menangani kempen antiminyak sawit antarabangsa sebagai tidak mencukupi, mengambil kira melobi di England, Eropah, dan Amerika Syarikat sahaja berjumlah RM15.5 juta setahun.
Katanya, ketika ini naratif menangani antiminyak sawit lebih tertumpu dalam negara, walaupun pemain utama industri di negara ini seperti Sime Darby Plantations Sdn Bhd dan GFV Holdings Bhd bersetuju dana melobi itu sepatutnya dibelanjakan di luar negara.
Dalam Belanjawan 2023, RM10 juta diperuntukkan bagi tujuan melobi di luar negara.
Pada Jun, Malaysia dan Indonesia bekerjasama bagi melindungi produk minyak sawit susulan diancam undang-undang dagang Kesatuan Eropah (EU), yang melarang import mendorong penebangan hutan dalam usaha blok itu melawan perubahan iklim.
Undang-undang itu mengenakan larangan import di seluruh dunia melibatkan kopi, koko, soya, balak, kelapa sawit, lembu, kertas cetak, dan getah.
Mengikut undang-undang itu, import yang datang dari kawasan penebangan hutan selepas 31 Dis 2020, adalah dilarang dalam pasaran besar EU – pasaran ketiga terbesar bagi Indonesia dan Malaysia.